Sharing is caring

Image by Lars_Nissen_Photoart from Pixabay
Sedar tak sedar, lagi beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Cepatnya masa berlalu. Rasanya macam baru je start puasa kan?

Nampaknya raya tahun ni, kira 2 kalilah kami sekeluarga beraya tanpa Hababah tersayang iaitu nenek aku. Baba pergi menyahut panggilan Illahi pada bulan Sya’aban tahun 2014 yang lepas. Rindu Baba sebenarnya. Ya lah, dia dah tinggal dengan kami sekeluarga since aku kecil lagi. Dia lah yang turut menjaga kami adik-beradik, makan minum kami dan rajin membuat baju raya kami masa kami kecil-kecil dulu. In fact, sampai aku masuk universiti pun Baba masih gigih menjahit baju raya kami. Kalau dulu masa kecil tu, baju teluk belanga aku, jahitan di bahagian leher baju tu memang sangat halus. Baba memang pandai menjahit. Teringat masa aku darjah 2 tahun 1986 dulu, masa dibedah kakinya kerana terpijak jarum semasa menjahit.

Dan apabila nak menjelang raya pula, Baba antara orang yang paling sibuk. Sibuk la dia menyiang bahan-bahan untuk memasak Laksa Johor. Laksa Johor memang hidangan utama kami sekeluarga semasa Hari Raya. Tapi bila dia dah uzur, tugas memasak kuah laksa diambil alih oleh Umi. Sungguhpun demikian, Allahyarhamah tetap gigih nak masuk ke dapur membantu. Memang Baba jenis tak reti duduk diam. Ada je pekerjaan yang dia nak buat. Sampai kadang-kadang kena marah dengan kami sekeluarga. Marah bukan sebab benci. Sebab kami sayangkan dia.. since dia dah tak kuat dan kalau penat sedikit nanti dia akan diserang semput/lelah.

Kalau disentuh pula tentang kasih sayang dia terhadap anak-anak dan cucu-cucunya.. Baba memang No. 1! Sampaikan Walid aku kalau balik lambat sikit, dia akan risau. Apa lagi cucu-cucunya. Risau kalau kami keluar dan tak balik-balik. Tanya berulang-kali dengan kami yang berada di rumah. Apa lagi kalau dia dengar ada kes culik dan sebagainya. Lagilah berganda tahap kerisauannya. Itulah Baba kami. Rindu sangat dengannya bila dia dah takde ni.

Baba pergi pada awal pagi sebelum Subuh Jumaat, 20 June 2014 bersamaan dengan 22 Sya’aban 1435H. Perginya ketika tidur. Mengikut cerita Umi, pada malam sebelum dia meninggal, Baba ada beritahu dia.. “”Chik (dia panggil Umi aku, Chik), Umi tidur dulu.. kalau Umi jaga, jagalah.. kalau takde, takdelah… Umi dah pergi..”” Dan Umi pun selalu ingatkan Baba sebelum tidur supaya baca syahadah siap-siap. Mana lah tahu umur kita kan. Masa Baba meninggal, Walid berada di Indonesia dan tak sempat pulang. Kami adik-beradik dan dengan bantuan saudara-mara dan kenalan yang menguruskan jenazah Baba. Nasib aku baik sebab sempat sampai dari KL. Ketika tu jenazah dah dibawa ke Masjid Wadi Hassan untuk disembahyangkan selepas solat Jumaat. Selesai pengkebumian, Shaha (adik ipar aku) yang membacakan talqin. Cepat dan mudah sungguh urusan pengkebumiannya. Semuanya dipermudahkan oleh Allah Ta’ala. Alhamdulillah.

Memang setiap kali Aidilfitri, kami sekeluarga menyambut ala kadar sahaja kerana kemeriahannya tak seberapa tanpa ahli keluarga kami yang telah pergi. Tambahan pula, adik aku yang nombor 3, Ali Zainal Abidin Alattas pun turut pergi menyambut seruan Illahi pada Hari Raya ke-3 tahun 2005. Walaupun dah hampir 10 tahun pemergiannya, kehilangannya masih kami rasai sehingga kini.

Apapun, doa aku semoga Allah Ta’ala mengampunkan dosa-dosa mereka dan menempatkan roh-roh mereka di kalangan orang-orang yang beriman. Dan semoga Allah Ta’ala memanjangkan usia Walid dan Umi aku, serta adik-beradik, keluarga, saudara-mara dan sahabat handai yang lain, serta mengurniakan mereka kesihatan yang berpanjangan.

Amin Ya Rabb.

Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.