Sharing is caring

Jika anda impikan percutian musim sejuk di sebuah lokasi seumpama kisah dongeng, datanglah ke Lake Bled, Slovenia.

Lake Bled, Slovenia

Dengan pemandangan sebuah gereja di atas pulau kecil di tengah-tengah tasik yang berlatar belakangkan gunung-ganang dilitupi salji, pasti anda akan tergegun, seolah-olah berada di alam fantasi. Tambahan pula, jika kedatangan anda ke sini ketika ia dipenuhi salji. Cukup indah pemandangannya!

Panorama indah di Lake Bled

Lake Bled ini terletak di bandar Bled, lebih kurang 55 kilometer dari Ljubljana, ibu negara Slovenia. Tasik ini terhasil apabila glasier yang melitupi lembah ini mencair disebabkan oleh pemanasan global dan pergerakan muka bumi puluhan ribu tahun dahulu. Perubahan ini membentuk Tasik Bled, Tasik Bohinj dan sungai-sungai di persekitarannya. Air dari glasier ini menjadikan tasik dan sungai-sungai di sini jernih dengan warna biru kehijauan.

Pemandangan indah Lake Bled dan persekitarannya

Berbeza dengan landskap semasa musim sejuk, kawasan sekeliling tasik ini akan dipenuhi dengan pepohon alpine nan menghijau semasa musim panas yang juga merupakan musim puncak di sini. Dan ketika inilah, Lake Bled menerima kunjungan pelancong tertinggi untuk melakukan pelbagai aktiviti riadah di tasik seperti berenang, menaiki bot, berkayak dan lain-lain lagi.

Sungguhpun musim sejuk berada di luar musim puncak, Lake Bled tetap menawarkan pengalaman yang istimewa dan terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Di antaranya ialah mengunjungi Bled Island dan Bled Castle.

Bled Island atau dalam bahasa tempatannya, Blejski Otok, merupakan sebuah pulau kecil yang berada di tengah-tengah Lake Bled ini. Di atasnya terdapat Cerkev Marijinega Vnebovzetja (the Church of the Mother of God), sebuah gereja Gothic yang kecil yang dibina pada abad ke-17.

Cerkev Marijinega Vnebovzetja

Untuk mengunjungi Bled Island ini, pengunjung mempunyai dua pilihan sama ada mendayung sendiri atau menaiki bot tradisional Pletna dengan bayaran €15 seorang.

Mlino Port for Pletna Boat

Kedatangan anda di Bled Island ini akan disambut dengan 99 anak tangga. Di antara tradisi yang masih diamalkan sehingga kini ialah bagi pasangan yang ingin berkahwin, pengantin lelaki perlu mendukung bakal isterinya menaiki 99 anak tangga tersebut sebelum menuju ke gereja.

99 anak tangga untuk memasuki Bled Island ini

Lake Bled ini juga tidak kurang dengan kisah legendanya. Di antara yang termasyhur ialah kisah loceng tenggelam (the sunken bell).

Menurut ceritanya, pada zaman dahulu ada seorang janda muda, Poliksena yang tinggal di Bled Castle. Suaminya mati dibunuh oleh perompak dan mayatnya dicampak ke dalam tasik. Demi memperingati suaminya yang tercinta, dia telah mengumpulkan semua barang emas dan perak miliknya untuk ditempa menjadi sebuah loceng gereja kecil (chapel). Tetapi sayangnya, loceng yang telah siap itu tidak sempat diletakkan di gereja kerana bot dan pekerja yang membawa loceng tersebut tenggelam dipukul ribut. Ada yang mengatakan loceng itu masih berbunyi dari dasar tasik sehingga kini.

Selain dari Bled Island, pengunjung juga boleh melawati Bled Castle (Blejski Grad). Istana yang terletak di atas lereng bukit setinggi 130 meter ini merupakan salah sebuah istana yang tertua di Slovenia. Bled Castle ini pernah disebut di dalam catatan bertarikh 22 Mei 1011 apabila Henry II, King of Germany, mengurniakan tanah kepada Bishop Adelberon of Brixen.

Bled Castle yang tersergam di atas bukit batu

Kedudukan istana yang tersergam indah di atas puncak bukit menghadap Lake Bled ini mencetuskan suasana yang romantik dan inilah yang menjadikannya terkenal di kalangan pelancong tempatan dan luar negara.

Perkarangan istana ini menawarkan pemandangan lembah Gorenjska yang sangat indah di mana ia terletak di antara tanah tinggi Karavanke dan banjaran pergunungan Julian.

Pemandangan indah dari perkarangan istana

Di dalam kompleks istana ini terdapat sebuah kedai cenderahati iaitu Castle Printshop. Kedai ini menawarkan satu cenderamata khas yang hanya terdapat di sini iaitu cetakan sijil menggunakan teknik percetakan tradisional ala Gutenberg. Untuk pengetahuan anda, percetakan Gutenberg merupakan teknik percetakan pertama diperkenalkan oleh Johannes Gutenberg sekitar tahun 1439 dahulu. Walau bagaimanapun, alat percetakan di sini adalah lebih kecil berbanding dengan Gutenberg yang sebenar.

Percetakan menggunakan kaedah tradisional

Anda mempunyai pilihan gambar untuk dicetak bersama dengan nama anda beserta dengan wax seal. Harga untuk sekeping sijil adalah bergantung pada saiz dan sijil yang kami tempah ini bersaiz besar dengan harga €14. Ia sangat menarik untuk diabadikan sebagai kenangan semasa berkunjung ke Lake Bled ini.

Kesimpulannya, Lake Bled menawarkan sebuah pengalaman percutian musim sejuk yang berbeza jika dibandingkan dengan tempat lain. Jika anda inginkan percutian yang menawarkan keindahan alam semula jadi, suasana yang nyaman dan tenang serta keramahan penduduk tempatannya, pastikan anda memasukkan Slovenia ke dalam senarai tempat yang perlu anda kunjungi.

Pemandangan indah Lake Bled diambil dari Ojstrica
Suasana yang tenang di tepi tasik

Jika anda inginkan maklumat mengenai percutian ke Slovenia dan Lake Bled khususnya, lawati www.omaralattas.com/tag/slovenia. Maklumat tentang perbelanjaan, itinerary, makanan halal dan lain-lain ada dikongsikan di sini.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat anda di luar sana. Selamat melancong ke Slovenia!



Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.