Sharing is caring

Korang semua pernah tidur menggunakan bantal kekabu? Semasa aku kecil dahulu, semua bantal yang kami gunakan diisi dengan kekabu. Bagi anak zaman sekarang yang mungkin tidak tahu apa itu kekabu. Kekabu ialah sejenis bahan fiber yang diperolehi pokok kekabu atau nama saintifiknya, ceiba pentandra. Pada pokok ini terdapat buah yang di dalam berisi fiber kekabu. Bagi sesetengah orang, pokok kekabu ini agak menyeramkan kerana apabila waktu malam, kelihatan “objek putih” yang dikaitkan dengan benda mistik.

Image source: https://powo.science.kew.org/

Berbalik pada bantal kekabu ini, selalunya bila terlalu lama sudah digunakan, ia akan menjadi leper dan tidak gebu. Oleh yang demikian, kami akan mengisi semula bantal ini dengan kekabu yang baru. Selalunya kami beli di kedai-kedai di bandar JB. Fiber kekabu ini dijual di dalam beg kertas coklat dan diikat kemas dengan tali rafia.

Proses mengisi semula kekabu ini tidak susah. Hanya perlu menetas sedikit jahitan di tepi bantal, mengeluarkan isi kekabu yang lama dan memasukkan kekabu yang baru. Kalau malas, aku akan masukkan sahaja dengan isi yang baru. Tapi apa yang pasti, mengisi kekabu ini aku lakukan di halaman rumah, duduk di rumput beralaskan tikar. Semasa proses mengisi kekabu ini, perlu menutup hidung dan mulut menggunakan kain atau tuala. Kalau tidak, partikel kekabu yang halus berterbangan ini akan masuk ke dalam hidung atau mulut kita. Ketika itulah, aku akan asyik terbersin. Setelah selesai mengisi kekabu, bukaan pada bantal tersebut akan dijahit semula dengan jahitan ringkas dan bantal tersebut dibiarkan berjemur untuk menghilangkan hama.

Tapi sekarang ini, aku sudah tidak menggunakan bantal kekabu. Beli bantal di Ikea saja. Beli yang berkualiti sikit, Insyallah tahan lama.

Oh, lagi satu perkara, anda pernah terdengar tak orang tua-tua dulu cakap, kalau duduk atas bantal, nanti punggung tumbuh bisul? Hahahaha.. Aku ada terbaca dahulu, sebenarnya dalam budaya orang Melayu ini, pertuturan mereka sangat halus dan berlapik. Sebenarnya bukan tumbuh bisul pun, tapi disebabkan hendak membuat bantal itu sesuatu yang leceh, maka dikatakan sedemikian pada anak-anak kecil supaya mereka tidak duduk di atas bantal dan bantal itu tahan lama. Logik juga kan?



Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.