Sharing is caring

Pagi ini, teman sekerja aku berkongsi satu artikel tentang rezeki yang berbunyi:

“Gaji kita mungkin kecil dari segi nilai RM. Mungkin juga sebenarnya Allah lebihkan pada bahagian lain. Ada masa boleh luangkan dengan ibubapa. Tempat kerja okay. Rakan kerja supportive. Pasangan yang memahami. Rezeki bukan sekadar pada duit. Alhamdulillah.”

Aku memang sangat bersetuju dengan pendapat ini. Walaupun hidup aku tidak melimpah ruah dengan wang ringgit, tapi Alhamdulillah, Allah cukupkan setiap keperluan aku. Dikelilingi dengan mereka yang baik sebenarnya rezeki juga.

Apa yang aku banyak belajar dalam hidup ini ialah perlu banyak bersyukur. Dengan bersyukur inilah akan datang rezeki yang tidak disangka-sangka. Contohnya pagi ini, walaupun aku agak lewat sampai ke pejabat, Alhamdulillah, ada satu petak parking betul-betul hadapan pejabat aku sedangkan parking yang lain semua telah penuh. Syukur!

Ada yang bertanya aku, bagaimana cara nak bersyukur, redha dan sebagaimana? Bagi aku, banyak benda yang kita boleh bersyukur di atas perkara yang remeh atau sekecil-kecilnya. Contohnya, setiap kali terjaga dari tidur pada waktu pagi, kita boleh ucapkan rasa syukur pada Allah kerana memberi peluang bagi kita untuk bernafas semula pada permulaan hari. Selamat sampai ke parking office, kita ucap Alhamdulillah. Bila balik pula, selamat sampai di parking rumah, kita bersyukur. Selesai solat dan ibadat yang lain, kita berterima kasih kepada Allah sebab memberi izin sehingga kepada kita dapat beribadat. Dan sebelum kita hendak tidur, kita berterima kasih pada Allah kerana dapat menjalani kehidupan kita seharian pada hari tersebut.

Senarainya akan sentiasa berterusan kerana terlalu banyak perkara yang kita boleh bersyukur. Nikmat Allah tidak terhitung banyaknya. Dalam erti kata lain, kena sentiasa ringankan lidah menyebut Alhamdulillah dan lakukan setiap masa selagi kita bernafas.

Dan jika ada perkara yang berlaku tidak seiringan dengan kehendak kita pun, kita kena bersyukur. Mungkin ada Allah ingin gantikan dengan sesuatu yang lebih baik ataupun selalunya anggap sebagai kifarah penghapus dosa kita. Apapun, bersangka baik kepada Allah itu sangat penting dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hamba-Nya.

Semoga Allah sentiasa memberkati rezeki, usia dan kehidupan kita, Insya-Allah.



Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.