Ganjaran Allah
Aku terbaca pandangan seseorang di media berkenaan mengenai perkongsian tentang kelebihan yang kita dapat jika melakukan ibadah seperti tahajjud dan lain-lain, kita akan mendapat itu dan ini.
Bagi aku, ia ada dua; pertama – sama ada kita mahu menambah ilmu untuk mengetahui fadhilat ibadah tersebut atau yang kedua, kita tidak mahu ambil tahu langsung mengenainya.
Sejujurnya, aku ialah golongan yang memilih pendekatan kedua. Alasan aku? Aku lebih suka tidak mengetahui segala kebaikan dari amalan tersebut. Tidak kiralah apa jenis solat, zikir, puasa atau ibadah yang lain. Cukuplah sekadar aku mengetahui itu adalah di antara amalan-amalan yang dituntut dalam Islam. Apa ganjaran yang diberikan aku tidak perlu tahu. Ini kerana aku tidak mahu menanamkan di dalam fikiran, jika aku melakukan solat atau amalan ini, segala kebaikan ini akan aku perolehi. Bagaimana jika aku telah melakukan dalam jangkamasa yang panjang, tetapi “ganjaran” yang diberikan itu masih belum kelihatan? Aku takut nanti ia sedikit sebanyak akan membenarkan “bisikan” syaitan bahawa amalan yang aku lakukan itu seolah-olah hanya sia-sia. Aku tidak mahu itu berlaku.
Ia sama seperti bila mana kita membuat pelbagai kebaikan terhadap seseorang, dan apabila kita tidak mendapat layanan yang sama atau lebih baik dari yang kita lakukan kepadanya, ia sedikit sebanyak kita akan berasa kecewa. Sebabnya? Kita telah meletakkan “harapan” agar kebaikan kita itu pasti ada balasannya. Itu baru dengan sesama makhluk.
Jadi, lebih baiklah aku melakukannya tanpa mengetahui apakah ganjaran tersebut. Biarlah Allah Ta’ala yang menentukan. Dengan cara itu, sekurang-kurangnya aku beristiqamah dalam setiap amal perbuatan dan melakukan atas dasar memang aku sendiri yang ingin melakukannya bagi mendapat keredhaan Allah, tanpa mengharapkan balasan. Ia juga sebagai langkah mendidik jiwa supaya lebih ikhlas. Susah sebenarnya hendak membentuk hati ini agar menjadi ikhlas dan bersih.
Allah berhak ke atas segala-galanya. Mungkin semakin banyak ibadah yang kita dilakukan, semakin banyak pula ujian yang diturunkan. Itu hak mutlak Allah dan kita sebagai hamba-Nya kena sentiasa redha. Sentiasalah berdoa kepada Allah supaya memberikan apa yang terbaik untuk diri ini kerana kadang-kala apa yang kita fikirkan baik untuk kita, sebenarnya ia akan mendatangkan mudarat yang lebih besar tanpa kita mengetahui. Allah Maha Mengetahui.
Semoga Allah mengurniakan yang terbaik untuk diri kita. Amin.
Untuk coretan #OneStoryADay yang lain-lain, silalah ke akaun Instagram baru aku di @omaralattas309
Leave a Comment