Sunyi
Anda pernah berasa sunyi?
Ada ketika, aku mendapat beberapa direct message daripada pengikut di media sosial. Mereka bertanya bagaimana aku mampu mengharungi perasaan sunyi dan menempuhi hidup sendirian.
Sebenarnya, susah juga hendak menjawab soalan itu tetapi apa yang pasti, bagi aku, hidup sendirian ini ialah satu pilihan.
Aku memilih untuk hidup sendirian kerana aku berasa lebih tenang, aman dan selamat. Selamat untuk melindungi perasaan aku sendiri kerana hakikatnya aku bukanlah seorang yang kuat.
Selain itu, aku sebenarnya telah terlalu penat dalam permainan emosi. Penat berharap, penat menunggu dan sebagainya.
Aku tidak menyalahkan sesiapa pun kerana perihal perasaan ini bukan boleh dipaksa-paksa. Aku tidak boleh memaksa seseorang untuk menerima aku dan begitu juga sebaliknya. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu aku hanya anggap sekadar teman. Begitulah hakikatnya.
Kesepian mengajar aku untuk menjadi lebih berdikari dan kuat. Dan aku perlu menjadi kuat. Kalau terlalu diikutkan perasaan ini pun tidak boleh juga kerana jika semakin dilayan, pelbagai perkara negatif dan segala macam jalan penyelesaian yang bodoh akan terlintas di fikiran.
Jadi, aku selalu sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti antaranya beriadah atau morning walk. Aku bersyukur kerana rumah aku berdekatan dengan Taman Tasik Cyberjaya. Kalau bosan, aku boleh memandu ke Putrajaya yang terkenal dengan taman-taman awamnya yang cantik.
Selain tu, aku turut menyibukkan diri dengan membuat suntingan video. Dan jika ada rezeki lebih, aku pergi melancong. Jadi, aku tidaklah berasa terlalu sunyi.
Aku pula mempunyai tabiat tidur awal. Lazimnya selepas isyak aku letak “berpindah” ke alam lain. Namun, aku bangun di awal sekitar jam 5 pagi secara automatik. Tambahan pula, aku jenis “homely” – jadi ia sudah menjadi rutin harian.
Selain itu, terima kasih juga kepada teman-teman rapat aku yang selalu menjadi tempat aku meluahkan perasaan. Mereka ialah pendengar yang hebat. Seronok kalau ada kawan yang memahami terutamanya jika bercerita tentang “crush” aku semasa morning walk, makan dan sebagainya.
Apapun, pada mereka di luar sana yang keseorangan, janganlah terlalu sedih. Kadang-kadang aku bersyukur hidup seperti ini daripada berasa berserabut untuk menyelami dan menjaga hati orang lain.
Untuk coretan #OneStoryADay yang lain-lain, silalah ke akaun Instagram baru aku di @omaralattas309
Leave a Comment