Sharing is caring

Semalam, 17 Ogos 2023, kita dikejutkan dengan tragedi sebuah pesawat peribadi terhempas di Elmina, Shah Alam. Pesawat berkenaan bertolak dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Subang. Tragedi tersebutkan mengorbankan 10 orang termasuk seorang EXCO Kerajaan Negeri Pahang, seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motorsikal. Heikal Aras, rakan sekelas teman sekerja aku, Zu, antara yang terkorban di dalam tragedi berkenaan.

Menjengah ke laman sosial, di sebalik ucapan takziah, terselit juga komen-komen yang tidak sensitif warga maya terhadap kejadian tersebut. Tidak kurang juga antara mereka yang tanpa rasa bersalah, berkongsi gambar-gambar mangsa tragedi, mengaitkan tragedi dengan isu politik dan pelbagai kata-kata yang tidak masuk akal yang sepatutnya tidak berlaku jika seseorang itu mempunyai masih waras. Adalah lebih baik jika kita mendoakan kesejahteraan mangsa dan keluarganya selain sentiasa mengingatkan diri kita bahawa kematian boleh datang secara tiba-tiba tanpa kita sedari. Ataupun, jika kita tidak mempunyai kata-kata yang elok untuk dituturkan, diam itu adalah lebih baik.

Menyentuh tentang pengalaman menaiki kapal terbang, kali pertama di dalam hidup aku menaiki kapal terbang pada 2006 iaitu ketika mengikuti majikan ke Chennai, India. Aku ke sana bersama seorang pengurus, Encik Azad. Azad duduk di kelas bisnes manakala aku duduk di kelas ekonomi. Kami ke sana menaiki pesawat Malaysia Airlines.

Aku memang cukup teruja menaiki pesawat buat kali pertama, lebih-lebih lagi apabila dapat melihat pemandangan awan, landksap dan bandar-bandar di bawahnya. Sehingga kini, setiap kali hendak menaiki pesawat, aku akan membeli tempat duduk di tepi tingkap dan aku juga tidak pernah jemu merakamkan pemandangan di luar pesawat. Pemandangan tersebut terlalu indah dan aku ia membuatkan aku merasa terlalu kerdil berbanding dengan segala kejadian yang diciptakan Allah Taala.

Walau acapkali kita disajikan dengan berita-berita nahas udara di seluruh dunia, ia sedikit pun tidak pernah memudarkan keterujaan aku untuk menaiki pesawat udara, kerana bagi aku ajal dan maut itu di tangan Tuhan dan ia akan datang pada bila-bila masa yang telah ditentukan. Sebagai seorang Muslim, kita harus sentiasa menyiapkan diri kita, melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan sentiasa berdoa kepada Allah agar dijauhkan dari segala musibah. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Apapun, aku mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa dan semoga roh mereka yang terkorban, diampunkan Allah dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Amin.

Untuk coretan #OneStoryADay yang lain-lain, silalah ke akaun Instagram baru aku di @omaralattas309



Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.