Sharing is caring

Tok Som merupakan seorang bidan di kampung aku yang terletak di Kota Tinggi, Johor. Selain berkhidmat sebagai bidan, dia juga melakukan kerja mengkhatan kanak-kanak perempuan di kawasan itu. Dia tinggal berhampiran dengan rumah datuk aku, Tok Bak. Rumah kayunya agak uzur. Untuk ke rumah Tok Som, kita perlu melalui denai yang di kiri kanannya dipenuhi belukar.

Menariknya rumah Tok Som ini ialah di hadapan rumahnya terdapat sebuah perigi. Ia bukanlah perigi sepertimana yang kita biasa lihat dengan binaan tembok berbentuk bulat di sekelilingnya. Tetapi ia kelihatan seperti sebuah kolam kecil. Periginya agak dalam dan airnya kelihatan hijau gelap. Tetapi apabila diciduk menggunakan gayung, airnya sangat jernih! Di tepi perigi Tok Som terdapat pelantar kayu dan di sekitarnya dibina dinding daripada zink dan kayu yang kelihatan hampir roboh kerana telah uzur. Terdapat sebatang kayu di tepi perigi dan gayung yang dipasang tali ditelungkupkan di atas batang kayu tersebut kalau tidak digunakan.

Ketika aku berada di kampung, aku telah beberapa kali mandi di perigi Tok Som terutamanya ketika terdapat gangguan bekalan air. Kami pergi ditemani orang dewasa kerana bimbang jika terjatuh ke dalam perigi tersebut jika pergi sendirian.

Untuk mandi atau membasuh baju di situ, kita perlu menggunakan gayung. Gayung akan dibaling ke dalam perigi dan kemudian talinya ditarik untuk mengambil air. Hendak mengambil air pun kena berhati-hati kerana ada kalanya terdapat berudu di dalamnya. Air perigi di sini memang sangat sejuk dan menyegarkan! Memang hilang rasa mengantuk jika disiram dengan air perigi ini. Tambahan pula, di sekelilingnya dipenuhi dengan rimbunan pohon-pohon menghijau. Satu pengalaman mandi yang menyeronokkan!



Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.