Sharing is caring

Pokok belinjau atau nama saintifiknya, gnetum gnemon, ialah antara tumbuhan nadir yang terdapat di negara ini dan Asia Tenggara. Ia juga dikenali sebagai melinjau, melinjo dan lain-lain. Pokok belinjau ini agak tinggi dan mempunyai buah yang berwarna hijau dan buahnya berwarna merah apabila telah masak. Buah belinjau ini pula mempunyai selaput yang agak keras yang melindungi isi di dalamnya.

Dahulu, di rumah arwah datuk aku, Tok Bak, di Kota Tinggi terdapat pokok belinjau ini yang ditanam di antara beberapa pokok buah duku. Setiap kali kami pulang ke kampung, peluang untuk memetik buah belinjau ini tidak akan aku lepaskan. Sama ada buahnya berwarna merah, kuning ataupun hijau, aku akan mengambil dan memasukkannya di dalam bekas ataupun beg plastik.

Image souces: https://selangorkini.my/
Image sources: https://ms.wikipedia.org/wiki/Belinjau

Buah belinjau ini kami rebus di dalam air yang dicampur dengan sedikit garam. Apabila buah belinjau ini telah empuk dan masak, kami akan toskan dan dibiarkan sedikit sejuk sebelum dimakan. Aku paling suka memakan kulitnya yang direbus itu. Selaputnya pula perlu dibuang sebelum memakan isinya. Rasanya? Isinya berasa lemak dan ada sedikit pahit tetapi tidak terlalu ketara. Persis rasa biji buah nangka atau cempedak yang direbus. Bagi aku, memang enak dimakan sebagai kudapan.

Dan ada ketika, apabila Walid pulang dari Indonesia, dia akan membeli beberapa beg keropok belinjau ini yang lebih dikenali sebagai emping belinjau. Selepas digoreng emping belinjau ini, kami akan taburkan sedikit garam untuk menambahkan keenakan rasanya yang lemak-lemak pahit itu. Dimakan pula bersama kopi-o panas, memang lupa seketika masalah dunia apabila menikmatinya.

Image sources: https://ms.wikipedia.org/wiki/Belinjau


Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.