Sate pet pot
Ada sesiapa yang tidak suka makan sate? Pelik bukan kalau tidak suka sate. Aromanya sahaja sudah cukup membuatkan aku kecur air liur. Itu belum lagi merasa daging empuk berlemak yang dibakar. Nikmat betul rasanya. Aku lebih suka sate daging berbanding ayam. Kalau ada sate perut, itu memang bonus untuk aku! Sehingga kini, selepas pulang dari kerja dan merasa lapar, sate ialah antara pilihan aku.
Dulu semasa aku kecil, memakan sate ialah sesuatu yang istimewa. Peluang hanya ada apabila keluarga aku ada rezeki lebih ataupun selepas mendapat duit hari raya. Kami adik-beradik berkongsi la sorang sikit untuk merasa makan sate ni.
Penjual sate di kawasan perumahan kami di Wadi Hana, Johor Bahru, kami panggil “wak” kerana cara pertuturannya seperti orang Indonesia. Dia menaiki motorsikal dan di tempat duduk belakangnya diletakkan kotak aluminium. Di dalam kotak itu terdapat sate yang belum dibakar, timun, bawang, ketupat dan juga bekas yang berisi kuah sate. Di sebelah kotak tersebut, terdapat bekas membakar sate yang siap berarang. Di tepinya juga terdapat sebuah tin kecil berisi minyak masak dan batang serai yang diketuk di pangkalnya. Serai ini digunakan untuk mencelup minyak dan dilumur pada sate ketika dibakar. Kipas sate berwarna coklat yang diperbuat dari daun nipah diselitkan pada tepi kotak tersebut.
Wak sate akan lalu pada setiap malam atau selang satu hari. Dan apabila kami hendak membeli sate, kami adik beradik iaitu Salim (adik aku yang menghidap down-syndrome) dan Fatimah, akan tunggu di depan pintu untuk mendengar bunyi honnya. (Lihat anak panah merah pada gambar di bawah)
“Pet pot.. pet pet pet pot… “
Begitulah bunyi honnya. Bila sayup-sayup kedengaran bunyi hon wak sate, kami akan berlari turun ke jalan dengan tangan memegang pinggan dan mangkuk sambil menjerit “sate.. sate!” Ada beberapa kali kami terlepas, tapi wak sate akan berpatah balik ke arah kami.
Sate yang dijual oleh wak berharga di antara 10-15 sen satu cucuk. Wak sangat laju melakukan kerjanya. Antara yang menarik perhatian kami terutamanya Salim ialah cara dia menghiris timun. Dia akan memegang pangkal timun pada tangan kiri, memutarkannya ke kiri dan ke kanan dengan pisau di tangan kanannya laju menghiris timun persis sebuah mesin. Salim selalu meniru aksinya kalau kami bermain dan berlakon menjual sate.
Apabila sate siap dibakar, kami membawanya ke rumah. Sepinggan sate dengan nasi impit, timun dan bawang bersama mangkuk yang berisi kuah sate. Dan di rumah, kami akan membentang surat khabar dan meletakkan sate tersebut di atasnya manakala kami sekeluarga akan duduk bersila mengelilinginya di atas lantai simen. Sate akan dibahagi sama rata, dua atau tiga cucuk seorang. Kalau rezeki lebih, dapatkan makan lebih banyak. Walaupun ketika makan sate tersebut, walid aku tiada di rumah, nenek aku, Baba, akan tetap suruh mengasingkan dan menyimpan sate itu untuknya. Itu perkara wajib apabila bab makanan. Sayang betul Baba pada anaknya seorang itu!
Begitulah memori sate aku semasa kecil.
Leave a Comment