Sharing is caring

Restoran Marrybrown telah membuka cawangannya yang terbaharu di Cyberjaya. Rangkaian restoran makanan segera ini berasal dari Johor Bahru, bandar kelahiran aku. Bercerita tentang restoran makanan segera ini, adakah anda mengingati pengalaman pertama menjamu selera di restoran jenis ini?

Seingat aku, pengalaman pertama aku menikmati hidangan makanan segera ini ialah di McDonald’s yang terletak di Holiday Plaza, Johor Bahru sekitar awal tahun 1980-an. Ketika itu, Holiday Plaza juga dikenali sebagai Kimisawa. Tetapi semasa itu aku tidaklah menikmati makanan di situ, sekadar membeli sebiji burger BigMac dan makan di dalam bas semasa perjalanan pulang ke rumah. Ketika itu, dari rumah kami di Wadi Hana, kami menaiki bas Alec bernombor 51 untuk ke Holiday Plaza. Aku masih ingat semasa hendak menikmati burger itu, di tepi bibir aku terdapat ulcer dan sukar untuk membuka mulut luas-luas. Tetapi oleh kerana teruja sangat untuk merasa burger McDonald’s, aku nganga juga seluas yang mampu untuk memakan burger tersebut walaupun terasa perit di tepi bibir aku. Rasa macam hendak terkoyak mulut. Kuat betul semangat aku untuk makan kan?

Dan di Holiday Plaza ini juga dahulunya terdapat satu lagi rangkaian restoran makanan segera iaitu White Castle. Aku masih ingat roti burgernya berbentuk segi empat yang dikukus itu. Tapi, restoran ini sekejap sahaja bertahan di Malaysia dan semua rangkaianya ditutup selepas beberapa ketika beroperasi.

Selain McDonald’s, antara restoran makan segera yang lain yang pernah aku kunjungi ialah Chicken Delight yang terletak di Taman Pelangi. Aku ingat lagi ketika itu pada tahun 1990, aku berada di dalam Darjah 6. Aku makan di sana dengan ditemani oleh rakan sekelasku, Intan. Menunya ialah set ayam goreng dengan roti, kentang goreng, coleslaw dan minuman karbonat. Harganya tidak melebihi RM10, jika tidak silap aku.

Aku juga pernah menikmati hidangan yang sama bersama arwah ibu saudara aku, Cik Pah di Kota Tinggi semasa pulang berhari raya. Maklumlah, baru dapat duit raya. Dan kejadian yang aku tidak akan lupakan ialah di mana ayam goreng aku “terbang” keluar dari pinggan ketika cuba memotongnya dengan menggunakan pisau dan garfu. Dengan pantas aku mengutip ayam tersebut dari lantai, membersihkannya dan sambung makan. Rugi la kan kalau hendak membuangnya. Duit bukannya senang hendak dicari.

Anyway, bagi sesiapa yang ingin berkunjung ke Marrybrown di Cyberjaya ni, ia terletak bersebelahan dengan Domino’s di NeoCyber. Lokasinya aku sertakan di bawah:



Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.