Sharing is caring

20 Februari, tarikh yang sentiasa aku ingat kerana pada hari ini, lahir insan istimewa yang dipinjamkan oleh Allah kepada keluarga aku.

Ini ialah arwah adik aku, Syed Abdul Kadir Al-Attas atau nama timangannya, Salim, seorang penghidap down-syndrome. Percayalah, kalau kau ada insan istimewa ini di dalam keluarga atau hidup kau, kau akan rasa sangat bersyukur kerana Allah telah memberi satu nikmat yang bukan semua orang boleh merasai.

Kenapa Salim? Alkisahnya, semasa kecil dulu dia selalu tidak sihat dan ada orang berkata mungkin disebabkan “bebanan” nama Abdul Kadir tu yang dalam bahasa Melayu bermaksud “hamba yang berkuasa/berkemampuan/kuat”. Arwah Tok Bak aku pun macam tu juga. Dari Abdul Kadir ditukar menjadi Mahmood sebab masa kecilnya selalu sakit. Anyway, untuk memilih nama mana yang sesuai, Umi aku menulis beberapa nama dalam keratan kertas, digulung dan diberikan padanya untuk dipilih. Dalam banyak-banyak nama pada kertas tu, nama “Salim” yang dipilih. Maka, melekatlah nama Salim tu sehinggalah ke akhir hayatnya. Dan Alhamdulillah juga, dia membesar dengan sihat.

Salim dilahirkan pada 1981 dengan pelbagai komplikasi, dia dijangkakan hidup tidak lama semasa kecil dulu. Tapi kuasa Allah mengatasi andaian manusia. 36 tahun Allah pinjamkan dia pada kami sekeluarga.

Semasa bayi, menjaganya sangat mencabar. Akibat tidak sanggup melihatnya dimasukkan tiub sana-sini, Walid aku mengambil keputusan untuk menjaganya sendiri di rumah. Selain menghidap semput, dia juga lambat berjalan. Ke sana sini dengan mengesot saja sehinggalah umurnya mencecah 5 tahun. Itupun sebab semangatnya kuat apabila melihat adik kami yang ketiga, Fatimah, dah mula berjalan. Kuat semangat Salim ni nak berjalan.

Pernah sekali, semasa dia menaiki troli bayi yang bulat beroda tu, troli tu terbalik dan dia terjatuh. Bibirnya teruk luka sebab terkena gigi. Kami meletakkan minyak lam sehinggalah lukanya bercantum semula. Minyak lam ni ialah minyak tradisional yang selalu beli dari Makcik Nab di Jalan Mohd. Taib, Wadi Hana. Ramuan turun-temurun keluarganya. Tak tahu la kalau familinya masih meneruskan legasi mereka tu.

Anyway, antara ikhtiar yang parents aku lakukan untuknya ialah menanam kaki di dalam pasir laut. Ada kenalan kami yang cadangkan. Mana-mana ikhtiar yang boleh membuatnya berjalan, parents aku akan buat. So, that time kami selalu ke Pantai Lido JB, tanamkan kakinya bersama pasir laut untuk beberapa lama. Alhamdulillah usaha tu menampakkan kesan yang positif.

Salim bersekolah di Sekolah Kanak-Kanak Istimewa di Jalan Gertak Merah, Johor Bahru. Siap belajar bahasa isyarat lagi. Aku pun ambil kesempatan belajar sama. Pernah sekali aku attend majlis sambutan apa entah di sekolahnya, tengok dia buat persembahan dengan rakan-rakannya yang lain. Tergelak aku sebab semua cute miut dan kelakar.

Dia juga pernah bekerja sebagai staf istimewa di McDonald’s Plaza Pelangi. Tapi tak lama bekerja kat situ sebab dia tak sihat. Mana taknya, dia dok minum air Coke dengan ais tu. Memang pantang nampak la kan sebab kalau kat rumah, memang kami tak bagi dia minum ais. Dan yang kelakarnya juga, ada few times dia bersihkan meja walhal customer belum habis makan lagi. Macam-macam hal betul. Hahaha…

Salim meninggal dunia pada 25 September 2017, sekitar jam 12.00 tengah malam…. 5 hari sebelum hari lahir aku. Ketika itu di rumah cuma ada Umi dan adik aku, Shafaq. Walid ketika tu berada di luar menghadiri majlis. Bila Walid sampai di rumah dan menghadapnya, dia menghembuskan nafas terakhirnya dalam dakapan keluarga aku. Aku ketika itu berada di Kuala Lumpur dan bergegas pulang pada awal pagi.

Redha? Sudah semestinya.

Rindu? Memang sentiasa merinduinya kerana dia penuh dengan sifat penyayang.

Sedih? Semestinya kerana aku telah kehilangan seseorang yang setiap kali pulang ke JB, aku minta dia mendoakan untuk aku, sebab aku yakin insan tiada dosa sepertinya, doanya sangat mustajab.

Gembira? Sudah tentu aku gembira kerana aku pasti dia telah berada di tempat yang lebih baik, menunggu kami yang suatu hari pasti akan menyusul bertemunya juga.

Salim sangat peramah dan mudah mesra dengan semua orang. Suka buat kelakar, suka bergurau. Setiap kali Hari Raya atau bila ada tetamu, dialah yang paling suka duduk melayan tetamu dan berbual, sesuatu yang aku sendiri selalunya kadang-kala tidak mampu untuk melakukan. Aku kan introvert! Hahaha. Tapi Salim, semua orang datang dia tegur especially kalau anak dara yang datang. Pick up line dia “Ooo.. cantik aaaa… Dah kawin???” Hahahahahaa.. Boleh tahan ye! Kalau nampak orang tengah khusyuk makan sure dia akan tegur “ooooo… selera je!” In fact kami satu family selalu ajuk ayat dia ni. Hehehe..

Dia sangat meminati Shah Rukh Khan, Siti Nurhaliza dan Mr. Bean! Anak patung Mr. Bean favoritenya pun aku masih simpan di bilik tidur aku.

Sungguhpun dia menghidap down-syndrome, memorinya sangat kuat dan mampu mengingat peristiwa yang telah lama berlaku. Itulah kelebihan Salim. Ada sekali, kawan baik aku masa sekolah datang melawat aku selepas 13 tahun tamat sekolah menengah, mak aku tak berapa cam… tapi Salim dia ingat siap mentioned nama lagi. Dialog-dialog filem P. Ramlee yang komedi jangan cakap la. Memang dia hafal walaupun sebutannya tak berapa jelas. Lagi-lagi cerita Seniman Bujang Lapok atau Pendekar Bujang Lapok. Memang favorite dia.

Dan kerana inilah aku mempunyai “soft spot” pada anak-anak syurga ni. Dan nasihat aku pada mereka di luar sana, jangan pernah jijik dengan mereka ini, tidak kira apa bangsa sekalipun. Mereka tidak sempurna di dunia tapi percayalah Allah telah menyediakan tempat istimewa untuk mereka di alam sana. Mereka adalah amanah bukan untuk keluarga mereka sahaja tetapi untuk kita juga sebenarnya.

Semoga Allah memberikan rahmat untuk mereka yang menyayangi anak-anak syurga ini. Dan untuk adikku Salim, semoga rohmu di dalam rahmat Allah Taala bersama ahli keluarga kita yang lain. Abang Attas sentiasa merinduimu.



Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.