Cik Aiskrim
Aiskrim… adakah di antara kita yang tidak menyukai aiskrim? Bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa turut menggemari pencuci mulut ini. Aiskrim ialah antara manisan yang menjadi kesukaan aku selain daripada coklat dan kek keju.
Dahulu semasa kecil, di rumah aku yang terletak di Jalan Alimat, Wadi Hana, ada seorang lelaki Cina berusia lewat 40-an yang menjual aiskrim. Aku memanggilnya Cik Aiskrim. Cik Aiskrim tinggal di sebuah banglo 2 tingkat berwarna biru di selekoh Jalan Alimat. Di tepi rumahnya ialah laluan ke kawasan mata air, lokasi di mana terdapat pokok buluh untuk aku membuat layang-layang. Di hadapan rumahnya pula ialah rumah keluarga India, Abang Raja dan Kak Sheila. Anaknya Davendran pernah belajar tuisyen Bahasa Melayu dengan ayah aku.
Cik Aiskrim menjual aiskrimnya dengan menggunakan sebuah mini van putih dengan logo Magnolia. Vannya kecil sahaja dengan 2 tempat duduk di hadapan dan di belakangnya terdapat bahagian sejuk yang menyimpan pelbagai jenis aiskrim. Dan dia selalu memakai baju berwarna biru muda, barangkali pakai seragamnya.
Selalunya Cik Aiskrim akan mula berniaga, keluar dari rumahnya selepas waktu tengahari. Dia akan memandu vannya dengan perlahan melalui kawasan perumahan kami sambil membunyikan loceng tangan, “kling.. kling… kling… kling”. Selalunya Baba akan memberi aku wang untuk membeli aiskrim. Jadi apabila aku mendengar bunyi locengnya, aku akan berlari keluar dari rumah menuju ke jalan untuk menahan van Cik Aiskrim.
Selalunya aku akan membeli aiskrim berperisa durian dan coklat yang berharga 20 sen. Di bahagian atasnya yang berwarna kuning itu ialah durian dan di bahagian bawahnya pula perisa coklat. Dan jikalau ada wang yang lebih, aku akan membeli aiskrim vanila dengan salutan coklat dan kekacang yang berharga 50 sen. Bagi aku, itu sudah cukup mewah!
Ada ketikanya jika ada hari Cik Aiskrim tidak berniaga, aku berjalan kaki ke rumahnya untuk membeli aiskrim. Sudah tentu, Cik Aiskrim akan melayan. Dia seorang yang peramah terutama sekali dengan kanak-kanak. Itu sudah semestinya kerana kami ini lah pelanggan utamanya! Hehehe.
Leave a Comment