Sharing is caring

Pakcik Salimun ialah seorang tukang mesin rumput yang mengambil upah membersihkan halaman rumah kami. Lazimnya, dia akan datang memesin rumput dan lalang sebulan atau dua bulan sekali. Ia bergantung pada keadaan halaman kami. Jika ada masa aku rajin, aku akan menebas sendiri rumput dan lalang dengan menggunakan sabit. Jika tidak, maka Pakcik Salimunlah yang akan melakukannya. Dia datang menaiki motorsikal dan mesin rumputnya menggunakan bilah besi.

Selalunya Pakcik Salimun akan datang pada sebelah petang. Ia adalah waktu yang sesuai untuk kami menurut serta membersihkan halaman. Ini kerana, aku sangat suka dengan bau rumput yang baru dipotong. Korang pernah menghidunya? Ia berbau segar dan seolah-olah memberi ketenangan. Aku pernah terbaca, bau ini terhasil akibat daripada pelepasan bahan yang dinamakan sebagai “green leaf volatiles” atau GLV ke udara. Perubahan kimia ini berlaku akibat kecederaan pada tumbuhan, proses rawatan serta pembentukan sel-sel baharu dan sebagainya.

Anyway, apabila Pakcik Salimun selesai memotong rumput dan lalang, aku akan mengumpulkannya dengan menggunakan pencakar, membuat timbunan rumput di hadapan rumah. Di bawah timbunan tersebut, aku nyalakan api pada beberapa keping surat khabar lama. Lazimnya, api cuma bertahan seketika kerana rumput-rumput tersebut masih lembab. Jadi, Walid mengajar aku menggunakan beberapa keping kayu yang dicurah sedikit minyak tanah. Barulah api tersebut bertahan lama, dan aku meletakkan rumput-rumput tersebut sedikit demi sedikit sehinggalah ia timbunan itu mengeluarkan asap yang tebal.

Dan korang tahu apa yang aku suka lakukan? Lari dan melompat di atas kepulan asap tersebut yang pada imaginasi ketika kecil itu, ia seolah-olah seperti awan dan aku rasa sangat seronok “terbang” di atasnya. Ada ketika, aku mengikat tuala di leher menjadi kain terbang Superman! Sama naik aku dengan adik aku, Salim, yang down-syndrome tu. Punyalah berangan kan? Selepas tu, pakaian semua habis berbau asap! Tapi Salim kadang-kala suka juga berangan mengeluarkan laser dari matanya macam Superman tu. Hahahaa…

Oh, tetapi ada insiden yang paling aku tidak boleh lupakan. Pada suatu hari, aku duduk di tepi tingkap, leka melihat Pakcik Salimun memotong rumput. Sedang seronok menikmati bau segar rumput yang dipotong itu, tak semena-mena, seketul batu kecil melantun tepat mengenai bawah bibir aku. Sakitnya bukan main lagi. Nasib baiklah batu itu sangat kecil dan tidak mengenai mata aku! Trauma tersebut kekal sehingga ke hari ini. Setiap kali jika aku terpandang orang memotong rumput, aku akan secara automatik meletakkan tangan ke muka, tidak kiralah kalau aku berada di dalam kereta. Masih terasa peritnya!



Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.