Tukang kebun
Pernahkah aku berkongsi dengan korang semua yang aku bercita-cita hendak menjadi tukang kebun?
Ya betul. Tukang kebun! Cita-cita ini muncul semasa aku berada di dalam Darjah 3 dan 4 di Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi, Johor Bahru. Ketika itu, Cikgu Narizah, guru kelas aku memberi kami kad maklumat pelajar berwarna biru, sama seperti kad laporan murid yang memaparkan keputusan peperiksaan setiap penggal itu. Di atas kad matlumat pelajar terdapat tiga ruangan untuk murid mengisi cita-cita masing-masing. Kebanyakkan rakan sekelas aku menulis untuk menjadi askar, guru dan polis kerana kebanyakkan di antara mereka ialah anak polis yang tinggal di Polis Depoh Johor Bahru.
Dan seingat aku, salah satu di antara tiga ruangan itu aku isi sebagai tukang kebun! Hahaha.. Kenapa tukang kebun? Ini kerana semasa itu aku rapat dengan tukang kebun sekolah iaitu Abang Razak dan Abang Isa. Bilik mereka terletak aras tanah di antara tandas pelajar dan kelas darjah 1 di Blok A. Mereka bertugas sebagai pemotong rumput dan menjaga landskap di kawasan sekolah. Mereka selalu melayan aku berbual terutamannya ketika waktu balik ketika aku sedang menunggu bas sekolah. Abang Razaklah yang paling peramah. Abang Isa raut wajahnya agak garang dengan misai tebal dan rambutnya kerinting dan sedikit botak. Tetapi dia juga sangat baik dan suka bergurau.
Sebenarnya kedua mereka ini ialah kakitangan asal Sekolah Kebangsaan Bukit Senyum yang turut berpindah ke sekolah baru ini. Turut menyertai mereka ialah seorang lagi kerani sekolah iaitu Kak Fatimah. Dia juga seorang yang sangat peramah dan kelakar. Dia mesti menegur aku setiap aku pergi mengambil loceng besi di pejabat sekolah untuk membunyikannya bagi menandakan waktu persekolahan bermula.
Aku tertanya-tanya apa khabar agaknya mereka semua ini. Walaupun telah lebih 30 tahun, kenangan bersama mereka masih terpahat di hati ini.
Leave a Comment