Sharing is caring

Dahulu semasa kecil, aku cukup seronok setiap kali hendak pulang ke kampungku di Kampung Makam, Kota Tinggi. Kami akan pulang apabila tiba cuti sekolah ataupun ketika menjelang Hari Raya. Seronok bila balik ke kampung kerana aku suka persekitaran rumah datuk aku yang dipenuhi dengan pokok buah-buahan dan ulam-ulaman. Walaupun datuk aku, Tok Bak, seorang yang garang, tetapi seingat aku, aku tak pernah dimarahi apatah lagi dipukul dengan rotan. Tok Bak ada sebatang rotan tebal sepanjang kira-kira 1 meter yang diselitkan pada bumbung zink di atas tangga di bahagian tengah rumah menuju ke dapur. Sepupu aku di antara yang selalu dilibas oleh Tok Bak kalau membuat kesalahan.

Tetapi dalam banyak perkara yang menyeronokkan ini, ada satu yang paling aku tidak suka – tandasnya di luar rumah! Inilah yang paling aku benci setiap kali hendak membuang air besar pada waktu malam. Tandas jenis jirus secara manual menggunakan gayung ini terletak di luar bersebelahan dapur. Dapurnya pun agak malap. Sebab itulah ibu saudara aku pernah mendidihkan air menggunakan cerek yang terdapat katak di dalamnya!

Walau bagaimanapun, tandas lama sebelum tandas jirus ini lebih menakutkan! Ia adalah tandas lubang yang terletak lebih jauh dari dapur, di bawah pokok-pokok dan semak di belakang rumah. Boleh anda bayangkan betapa ngerinya hendak membuang air besar pada waktu malam?

Setiap kali hendak ke tandas ini, aku akan meminta ibu saudaraku, Zulfah atau Cik Pah, yang merupakan adik bongsu Umi yang sebaya dengan aku. Dia memang berani kerana sudah biasa berbanding dengan “anak bandar” seperti aku. Lazimnya aku ke tandas ini berbekalkan lampu suluh di tangan kerana tiada lampu di dalam tandas tersebut. Cik Pah pula akan menunggu aku di satu sudut di bahagian dapur, sehingga aku selesai “urusan”. Aku berbual dengannya dengan suara yang kuat dengan topik yang merapu semata-mata untuk menghilangkan rasa takut. Apabila dia senyap, aku akan memanggil namanya kerana takut ditinggalkan seorang diri. Ketakutan aku bukan hanya pada “hantu” tetapi binatang-binatang yang selalu memunculkan diri dalam tandas tersebut seperti katak dan lipan. Syukurlah ular tak pernah bertandang ke situ. Kalau tidak, pasti aku sudah pengsan di dalamnya. Ngeri!



Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.