Staycation Alam 2H1M di Hulu Langat – Tidur Dalam Hutan, Mandi Sungai & Menikmati Kolam Air Panas
Pengenalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Berjumpa lagi dalam blog aku pada kali ni dan aku nak share tentang staycation 2H1M aku dan Barak di Hulu Langat, Selangor.

Tapi, sebelum tu apa kata korang support channel aku dengan subscribe, like dan share video-video yang ada di situ. Semoga bermanfaat dan tercapai juga hasrat aku untuk mendapat silver button suatu hari nanti.
Sebenarnya, staycation di Hulu Langat ni takde langsung dalam perancangan aku pun. Kalau ikutkan, aku ada plan nak stay di KL, memandangkan Isnin tu cuti Deepavali. So, aku plan nak stay KL untuk buat content juga dan dalam masa yang sama boleh claim point Trip.com tu. Lepas tu, dok borak-borak dengan dia mana nak pergi masa kami lepak breakfast di Taman Tasik Cyberjaya, tup-tup dia ajak pergi ke Taman Sari tu. Random betul. Tapi since dia pernah cakap nak pergi situ lepas tengok video aku yang dulu, aku onz je. Boleh juga pergi mandi sungai, ala-ala healing di Sungai Lopo tu.
Tapi, sebelum tu aku Whatsapp Affa, owner Taman Sari tu. Alhamdulillah unit yang aku stay dulu, The Bothy masih ada kekosongan. Maka, lepas breakfast tu, kami terus balik dan main capai je barang-barang untuk pergi staycation ni. Mandi sungai la kita! Yessss!!!
Bajet 2H1M ke Taman Sari Hulu Langat
Sebelum aku bercerita panjang, di bawah ni aku kongsikan bajet kami ke sana.
| The Bothy @Taman Sari • Bilik untuk 2 orang • Breakfast home-made nasi lemak • RM 350.00 / 2 | RM 175.00 |
| Sungai Lopo Village • Parking – RM 5.00 • Tiket masuk – RM 10 (RM 5 seorang) • RM 15.00 / 2 | RM 7.50 |
| Kolam Air Panas Surau Kg. Dusun Tua • Masuk percuma • Derma seikhlas hati – RM 10.00 • RM 10.00 / 2 | RM 5.00 |
| Jumlah perbelanjaan | RM 187.50 seorang |
Bajet tak temasuk minyak, tol dan makan. Terlebih terkurang kira halal la Barak ya!
Staycation 2H1M di Hulu Langat
The Bothy @Taman Sari Hulu Langat
Info tentang The Bothy ni aku pernah kongsikan dalam post di sini:
Itinerari 2H1M ke Hulu Langat
Sebenarnya, kami takde proper planning untuk staycation 2H1M ke Hulu Langat kali ni. Just main redah je. Cuaca pula macam hujan-hujan juga. So, just tengok keadaan je la.
Dari Cyberjaya ke Taman Sari Hulu Langat
Kami bertolak ke Hulu Langat dari Cyberjaya right after breakfast kat Taman Tasik sekitar jam 11.55 pagi. Alhamdulillah, jalan clear dan tol pun dapat diskaun 50% sempena Hari Deepavali. Kami sampai di Taman Sari pada jam 12.55 tengahari dan Alhamdulillah, Affa terus bagi check-in sebab unit kami takde orang stay.
Rupa bentuk The Bothy masih sama seperti time aku pergi dengan Sham dulu pada tahun 2021.Takde apa pun yang berubah. Cuma, menurut Affa, dia kena refill air di plunge pool tu sebab malam sebelumnya hujan lebat. So, air dari bukit tu keruh. Nak penuhkan kolam tu mengambil masa lebih kurang 5 jam.
Selepas berehat seketika, kami keluar semula. Ingatkan nak pergi Sungai Congkak. Sekali hujan la pula. Cancel plan. Sudahnya kami pergi lunch di restoran nasi kandar yang terletak di tepi jalan. Tu je yang nampak. Asalnya nak singgah makan nasi kukus di Sungai Congkak tu tapi akde parking langsung. Penuh! Orang dok datang ke sini untuk aktiviti hujung minggu.
Selesai makan, kami terus balik semula ke Taman Sari sebab hari masih hujan. Maka, dok melepek je la kami kat sini melihat pokok-pokok dan sambil melayan hujan turun. Best juga. Tenang je rasanya.

Menikmati Kesegaran Air Bukit di Plunge Pool
Bila hujan dah berhenti, sekitar jam 5.00 petang tu kami pergi ke plunge pool. Walaupun air dalam pool ni masih belum penuh, kami berdua terjun juga. Ya ampun, sejuk giler! Hahaha. Tapi best. Segar! Sempat la berposing untuk buat content. Hampir 45 minit juga kami dok berendam sebelum balik ke bilik untuk mandi. Nasib baik ada hot shower. Best ya mandi outdoor hot shower ni. Tapi sambil-sambil mandi tu, mata kena sentiasa peka la sebab kat sini banyak serangga kecil. Macam masa aku tengah mandi tu, ada seekor ulat gonggok besar dok kat lantai. Nasib tak terpijak!

Tidur bersatu dengan alam
Untuk dinner, kami makan je makanan yang dibeli sebelum datang ke sini. Barak dok habiskan kuih akok dia beli kat Pasar Tani Tasik Cyberjaya pagi tadi, selain daripada makan maggi cup. Aku bantai roti coklat je. Takde la lapar sangat. Lagipun, kami dah malas nak keluar. Jalan nak keluar tu gelap gelita. So, malam ni kami dok berborak je dan tengok socmed sebelum tidur. Tidur pun mengadap hutan. Harap-harap takde yang menjengah! Hahahaha…

Breakfast nasi lemak home-made
Beberapa minit sebelum jam 6.00 pagi aku dah terjaga. Azan kat sini jelas kedengaran. Paginya sejuk! Aku suka betul suasana macam ni. Kat sini, breakfast disediakan oleh owner. So, Affa dah tanya dah semalam nasi lemak okay tak? Aku kata okay je. Nasi lemak dia pun sedap. Telur rebus tu aku yakin dia ambil dari ayam-ayam kat reban belakang The Bothy ni.
Selesa breakfast, sekitar jam 9.00 pagi tu, kami ke Sungai Lopo untuk mandi. Tak jauh pun dari Taman Sari ni. Dalam 10 minit drive je. Dalam 6 km macam tu. Ikutkan hati macam nak pergi Air Terjun Sungai Lepoh tapi nak ke sana kena hiking bagai. Dah la dua-dua ketul ni insan yang lemah! Hikingnya pula dekat sejam lebih katanya. Tak sanggup la weh!
Tapi sebelum keluar tu aku dah tanya Affa boleh tak nak check-out lambat. Dia kata suka hati la nak check-out pukul berapa. Takde orang pun book hari ni. Alhamdulillah, boleh la santai-santai sikit, tak perlu la nak rushing.

Mandi di Sungai Lopo Village
Sampai di Sungai Lopo Village, aku macam terkesima sikit sebab parking penuh! Macam ramai gila orang je. Memang pun sebab tengah musim cuti kan? Tapi Alhamdulillah ada lagi spot kosong. Pengunjung memang ramai lah. Nak dok book wakaf, yang sewa tapak camping. Aku just walk-in je, beritahu dengan makcik owner tu nak masuk mandi je, takde nak sewa tapak atau bentang tikar. So, dia charge kami RM 5.00 seorang dan RM 5.00 untuk parking kereta.
Oh! One thing yang aku puji kat sini ialah TANDASNYA DAH DIPERBAIKI! Hahahaha.. Ye lah, aku dah few times ke sini. Tandasnya sebelum ni memang horror. Macam markas syaithan! Takde lampu, gelap, kotor dan hazab rupa parasnya. Alhamdulillah, la ni dah bersih. So, takde la nanti aku tukar baju kat luar pintu masuk tandas tu. Terima kasih owner!
Kami menghabiskan masa sejam mandi kat sini. Puas hati. Airnya pun bersih, sejuk dan segar! Sungai Lopo Village ni antara lokasi favorite aku kalau nak mandi sungai. Tempatnya just nice. Ada batu-batuan untuk duduk menikmati aliran air. Dan sungainya pun tak dalam. So, anak-anak kecil boleh mandi dan bermain air. Lokasinya pula tak terlalu jauh dari Cyberjaya. Jadi, kira okay la tu.

Rendam kaki di kolam air panas
Selesai je mandi sungai, Barak ajak pula pi kolam air panas. Sakan betul dia nak healing. Katanya dah terlanjur kat sini. Bila lagi nak pergi. Betul juga kan? Lokasi kolam air panas ni pun tak jauh mana. Dalam 15 minit je dari Sungai Lopo ni
Kolam Air Panas Dusun Tua ni terletak di belakang Surau Kampung Dusun Tua. Mula-mula macam agak confuse juga. So, kalau korang nak pergi, masuk entrance surau tu dan terus ke belakang. Kolam air panasnya terletak di situ. Masuk free je. Cuma korang boleh bagi derma seikhlas hati la.
Air panas kat sini memang semulajadi dari tanah. Suhunya paling panas kalau tak silap aku 70°C kot, menurut abang yang ada jaga kat situ. Ada ruangan mandi berasingan untuk lelaki dan wanita. Dan kat sini disediakan baldi dan gayung untuk kemudahan mandi dan merendam kaki. Kalau korang nak rendam kaki, kena masukkan air panas tu dan baldi. Tak boleh terus rendam kaki dalam kolam utama. Ada juga kolam kecil yang korang boleh gunakan untuk merendam badan. Cuma, kena isi dululah air panasnya tu.
Menurut pemerhatian aku, pengunjung kat sini rata-ratanya terdiri daripada warga emas berbangsa Cina. Diorang suka mandi kat sini. Selain untuk kesegaran badan, air dengan sulfur semulajadi ni bagus untuk kulit juga.
Maybe next time kalau kami ke sini, boleh singgah di kolam air panas ni lagi.

Last mandi pool sebelum balik
Sampai je di Taman Sari, kami sambung lagi berendam kat plunge pool beberapa minit sebelum balik bilik mandi hot shower pula. Dari air sejuk ke air panas, then sambung lagi air sejuk, then air panas lagi. Boleh merekah kulit aku! Hahaha. Tapi apapun memang best dan sangat relaks!
Selesai check-out, kami terus balik ke Cyberjaya. Esok dah kerja bai! Tapi sebelum tu singgah makan tengahari di gerai tepi jalan on the way balik tu. Barak makan nasi ayam, aku pula makan nasi dengan ikan keli goreng. Tak bercakap ya sebab lapar gila! Hahaha.

Penutup
Jadi, begitulah perkongsian aku untuk staycation 2H1M di Hulu Langat pada kali ni. Kepada pembaca berbangsa India diucapkan Selamat Hari Deepavali.
Bagi yang belum subscribe channel aku, silalah subscribe, share dan like the videos. Mudah-mudahan dapat aku nak buat travel content lagi di masa hadapan.
Jumpa lagi dalam perkongsian akan datang. Terima kasih kerana sudi membaca. Tata titi tutu!
English summary:
A super relaxing 2D1N getaway at Taman Sari Bed & Breakfast, Hulu Langat. We stayed at “The Bothy” — an open-air space with no walls, so sleeping there really felt like becoming one with nature. The atmosphere was incredibly peaceful, surrounded by tropical trees and the sound of birds. There’s also a natural plunge pool with cold, refreshing water! The next day, we went for a river dip at Sungai Lopo Village — crystal clear water, clean surroundings, and totally satisfying. Before heading home, we stopped by the hot spring at Surau Dusun Tua for a quick soak and foot bath. The natural hot water was super refreshing. All in all, such a worth-it trip to recharge and escape the city buzz.

Leave a Comment