Road Trip 3H2M ke Kuala Kangsar
Pengenalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca blog yang aku sayangi! Kepada yang baru menjejakkan kaki di blog ni, selamat datang ke blog yang dah berusia lebih 14 tahun ni. So, kali ni aku nak kongsikan percutian aku bersama Wan dan Nad, pasangan suami isteri yang merupakan penyokong setia Youtube channel aku. Jom! Bersama kami dalam road trip 3H2M ke Kuala Kangsar, Perak.

Tapi, sebelum tu apa kata korang support channel aku dengan subscribe, like dan share video-video yang ada di situ. Semoga bermanfaat dan tercapai juga hasrat aku untuk mendapat silver button suatu hari nanti.
Road trip 3H2M ni dirancang oleh Wan dan Nad. Aku main follow je. Dan yang menariknya, bagi aku trip ni macam dejavu sikit sebabnya for the past few months I’ve been working on reunion book girls school kat Kuala Kangsar ni. Majlis reunionnya pun dah selesai beberapa minggu yang lepas. Majlis turut dihadiri oleh KDYMM Raja Permasuri Agong Raja Zarith Sofiah sebab baginda merupa ex-student sekolah tu. Masa aku dok design buku ni, terdetik dalam hati aku macam “eh.. best juga kalau pergi sini”. Tup.. tup.. selepas tu tak sangka Wan dan Nad ajak aku ke sini. Rezeki kan? Alhamdulillah…
Penginapan semua Wan yang booked. Tu pun last minute juga sebab kebanyakan semuanya dah fully booked. Alhamdulillah, bila dia booked yang satu ni, memang la best tempatnya. Nanti aku ceritakan.
Bajet 3H2M ke Kuala Kangsar
Sebelum aku bercerita dengan lebih lanjut, biar aku kongsikan bajet aku ke sana.
| Penginapan • Teratak Jannah Homestay • Chalet x 2 malam • Tanpa breakfast – bilik untuk 2 orang • Termasuk cukai • Deposit tunai RM 100 (refundable) | RM 287.00 |
Bajet ni tak termasuk untuk minyak, tol, makan dan perbelanjaan lain-lain.
Homestay 3H2M di Kuala Kangsar
Teratak Jannah Homestay & Resort – Chalet
- Teratak Jannah ni terletak cuma 1 km lebih dari Lata Perahu, salah satu air terjun yang terdapat di Kuala Kangsar dan di belakangnya juga ada sebuah sekolah tahfiz.
- Ia juga terletak di dalam kawasan dusun. Di sekitar jalan masuk ke homestay ni korang akan nampak banyak pokok-pokok durian.
- Asalnya ia merupakan kawasan rumah rehat persendirian yang kemudiannya ditukar kepada homestay.
- Kami stay di unit chalet. Hanya ada 2 chalet di sini. Selebihnya ialah sebuah lagi bilik dan 1 unit rumah yang korang boleh sewa sebiji terus atau sebahagian darinya.
- Bilik chalet yang kami stay ni boleh memuatkan 2 orang dewasa. Dilengkapi dengan kipas, TV, water heater dan almari. Aircond dengan WIFI je takde. Internet connection okay je. Takde masalah.
- Kawasan homestay yang tenang ni penuh dengan pokok buah-buahan, kolam dan yang menariknya terdapat sungai yang mengalir di dalamnya. Korang boleh pilih untuk berendam di kolam bahagian hadapan (lebih kids-friendly) atau anak sungai di bahagian belakang yang lebih menarik dengan batu-batuan. Anak sungai ni hanya untuk pengunjung homestay ni sahaja.
- Ada sebuah outdoor kitchen yang dilengkapi dengan peti sejuk dan dapur memasak. So, kalau korang nak memasak kat sini pun boleh.
- Ada beberapa ekor itik dan anak-anak itik yang comel juga kat sini.
- Homestay ni diuruskan oleh En. Saleh. Dia sangat friendly dan dok jamu kami durian masa kami sampai kat sini.

Itinerari 3H2M ke Kuala Kangsar
Frankly, takde proper itinerary. Aku main tepek ke kat ChatGPT suruh dia suggest apa nak dibuat. So, roughly ikut tu je dan tambah mana-mana yang kami nak pergi. Basically itinerary kami ialah jalan-jalan bandar Kuala Kangsar, pergi Kampung Labu Kubong yang viral dengan pemandangan sawah yang cantik and then on the last day sebelum balik Cyberjaya, impromtu plan ke Kuala Sepatang. That’s it.
Ate kome… moh ler ikut teman ke Kuala Kangsor! (kau boleh bayangkan tak betapa fakenya longat Perak aku? Hahaha..)
Hari pertama: Cyberjaya – Kuala Kangsar
Wan dan Nad ambil aku di Cyberjaya dan kami bertolak sekitar jam 8.00 pagi. Wan tak dan masuk PLUS highway pun. Kami ikut arah ke Sekinchan sebab nak singgah breakfast di sana dulu. Ni pun masa nak bertolak la baru diorang dok cari. So, kat Sekinchan ni, kami breakfast di Syurga Nasi Lemak.
Sarapan nasi lemak tepi sawah
Syurga Nasi Lemak ni terletak di Jalan Parit 12, Sungai Nibong, Sekinchan. First time kami ke sini. Kedainya comel je dengan latar belakang sawah padi yang menghijau. Ada menu nasi lemak dengan pelbagai lauk-pauk yang nampak menyelerakan. Roti bakar pun ada juga. Aku pilih nasi lemak dengan lauk peparu goreng dan telur mata. Sedap nasi dan sambalnya pada aku. Diorang letak kangkung juga. Susah nak jumpa nasi lemak yang letak sayur kangkung.


Pemandangan cantik di West Coast Expressway
Selesai makan, kami sambung semula perjalanan ke Kuala Kangsar ikut WCE. Wan kata ikut jalan ni tak sesesak PLUS. Memang betul ya. Dan view sepanjang highway ni pun cantik terutamanya di kawasan Bagan Datuk kalau tak silap aku yang banyak pemandangan pokok-pokok kelapa. Aku tak ingat Wan exit kat mana.. Taiping kot sebelum masuk PLUS untuk ke Kuala Kangsar.
Kami sampai di Kuala Kangsar sekitar jam 1.00 petang. Tempat pertama yang kami singgah ialah The Store untuk membeli air mineral dan kudap-kudapan.

Teratak Jannah – homestay dalam dusun
Kami sampai di homestay ni lebih kurang jam 2.00 petang. Lokasinya dalam 20 minit dari bandar Kuala Kangsar. Nak masuk ke tempatnya pun aku dah teruja sebab memang dalam kawasan kampung. Jalannya pun kecik je, muat-muat untuk satu kenderaan. Kalau bertembung, salah satu kena mengalah untuk ke tepi sikit.
Kedatangan kami disambut oleh Encik Saleh, yang menguruskan homestay ni bagi pihak owner. Si itik jantan, Duckie pun turut menyambut kami. Dia ikut je mana kami pergi. Katanya asal tempat ni ialah rumah rehat untuk family tapi kemudian dijadikan homestay. Aku tak perlu cerita panjang pasal homestay sebab aku dah explain kat atas tu.
Encik Saleh dok bawa kami berjalan melihat sekitar kawasan homestay ni. Tengok pokok buah-buahan dan anak sungai. Cuaca pun memang panas terik. So, memang plan kami nak turun berendam dalam sungai lepas ni. Tapi sebelum tu, aku dan Nad dok bedal durian yang Encik Saleh kopekkan. Durian kampung tapi manis lemak berkrim! Alhamdulillah Wan tak makan durian. Hahaha…

Mandi sungai dalam homestay
Sementara menunggu kipas aku siap dipasang (kipas bilik aku rosak, jadi depa ganti seketul yang baru), kami pun pergi ke anak sungai di belakang untuk menyejukkan diri. Best gila ya! Dalam suasana panas terik, airnya pula sejuk. Pokok menghijau pula merimbun di sekeliling. Memang segar gila dan terasa healing sangat.
Kami dok berendam hampir 45 minit sebelum balik ke chalet untuk bersiap-siap keluar makan. Tadi nak lunch rasa macam kenyang lagi. So, simpan dulu perut sehingga betul-betul lapar.

Ghomah Makan Kome – makan di rumah tradisional
Kedai makan ni terletak lebih kurang 13 km dari homestay kami. Lokasinya ialah di sebuah rumah kayu tradisional dan makan di bahagian bawah rumah. Kerusi dan mejanya comel je. Macam kerusi meja budak sekolah rendah. By the way, ada juga tempat duduk berpayung di kawasan halaman. Ikut korang punya preference. Korang juga boleh bergambar di bahagian atas rumah ni. Suasananya menarik.
Kiranya kami late lunch, tea time dan early dinner di sini terus. Ada pelbagai jenis hidangan disediakan. Aku order mee goreng udang, Wan pula order kue tiau biasa manakala Nad order nasi goreng opah yang katanya best-seller kat sini. Oh! Tak lupa cucur udang kuah kacang juga. Untuk minuman, aku memilih kopi ais kome yang hitam pekat tu. Wan dan Nad both memilih kopi ais kuala yang less kaw.
Sejujurnya, bagi aku rasa makanannya biasa je. Kue tiau tu actually lagi sedap berbanding mee goreng. Dan nasi goreng opah tu rasa ikannya terlalu kuat untuk aku. Kalau baunya tak kuat dan rasa fresh, aku boleh bayangkan kesedapan nasi goreng ni sebab arwah nenek aku pun dulu pernah buat nasi goreng style camni. Guna isi ikan goreng dengan cili kering. Simple tapi sedap! Anyway, dunno la… tekak masing-masing kan? Tapi kopinya memang kaw. Dan harga makanan kat sini not bad la. Semuanya tu berjumlah RM45. Okay la kan?



Nak ke mana waktu malam di Kuala Kangsar?
Selesai makan, kami merayap di sekitar Kuala Kangsar. Kononnya nak melepak kopi-kopi tepi sungai tapi dah agak lewat sebab dah maghrib. Lagipun perut masih kenyang. Kami cuma singgah di kawasan Denai Cafe by JPS di tepi Sungai Perak. Kat situ ada lokasi penggambaran Zombie Kampung Pisang. Kami spent time sekejap je kat sini sebelum pergi ke Mr. DIY membeli barang sikit dan tapau makanan untuk dinner.
Sudahnya, kami dinner kat dapur homestay tu sambil discuss itinerary untuk hari esok. So, that’s all aktiviti pada hari pertama di Kuala Kangsar.


Hari kedua: Kampung Labu Kubong, river cruise & jalan-jalan Kuala Kangsar
Hari kedua road trip 3H2M ke Kuala Kangsar ni bermula pada awal pagi. Suasana awal pagi di Teratak Jannah memang mendamaikan. Udaranya segar, bunyi burung-burung dan air sungai mengalir. Rasa nak tinggal terus je kat sini!
Selesai menikmati udara segar pagi hari kat sini, kami pergi ke destinasi pertama iaitu mana lagi… kedai makan lorrrr. Kena la breakfast dulu, baru bertenaga nak berjalan. Dan lokasi yang dipilih mereka ialah Bedah Corner. Nama pun dah vass kan?

Breakfast di Bedah Corner
Kedai makan ni terletak di Kampung Labu Kubong. Lebih kurang 15 minit dari homestay kami. Tak jauh dari kawasan kampung yang viral tu. Kedai kampung yang sempoi je tapi nasi lemaknya sedap! Kami order nasi lemak dengan lauk ayam goreng dan sambal kerang. Termasuk dengan 2 teh tarik dan 1 milo ais baru RM20. Heaven!
Okay bila dah kenyang, kami pergi ke lokasi yang terdekat iaitu Kampung Labu Kubong.

Kampung Labu Kubung – view sawah cantik di kampung viral
Kampung ni dah lama ada dalam wishlist aku sejak aku ternampak videonya lalu kat Tiktok. Tak sangka betul agak dekat dengan homestay kami. Thanks Wan dan Nad, tertick satu wishlist aku. Apa yang aku boleh cakap, pemandangan kat sini memang paling cantik teramat sangat! Ayat camni kalau cikgu BM nampak mesti kau kena hempuk kan? Tapi serious memang cantik weh! Korang kena datang sini sendiri untuk saksikan.
Dengan pemandangan sawah yang hijau terbentang, berlatar belakangkan bukit dan gunung dengan awan yang rendah. Dan di tepinya pula ada tali air yang airnya jernih dan sejuk, memang surreal sangat rasanya. Lama weh aku terpaku dengan view kat sini. Terus dalam kepala dah buat keputusan nak bersara kat sini! Hahahaha.. berangan macam wang simpan KWSP kau dah berjuta-juta gamaknya. Tapi tu la yang terlintas kat kepala aku time tu.
Dan yang paling aku suka ialah video dan gambar yang dirakamkan kat sini semua cantik-cantik. Puas hati betul rasanya datang ke sini. Sempat juga terjumpa dengan sorang mamat yang selalu buat live TikTok kat sini. Tak ingat pula namanya.
Masa kami kat sini, ada beberapa keluarga yang datang berpiknik dan juga briskwalk. Termasuklah beberapa kanak-kanak yang terjun ke dalam tali air. Seronok betul tengok. Kalau kepala terus autoplay lagu Nora – Desa Tercinta. Hahaha…
Hampir 40 minit juga kami menghabiskan masa kat sini. Seronok betul bergambar. Kalau matahari tak terik tu, maybe lama lagi kami bersidai kat sini.






Tolong jaga kebersihan!
Cuma satu je aku nak pesan dan share. Kalau korang piknik kat sini, tolong la bawa balik sampah-sarap. Sakit mata betul aku nampak ada selonggok bekas dan bungkusan makanan ditinggalkan bertimbun kat sini. Ya Rabbi… kat mana eh akal puak-puak camni? Bodoh dia memang pekat betul. Kawasan ni memang tak disediakan tong sampah, so pandai-pandailah uruskan sampah sendiri. Takkan la benda basic camni pun tak boleh fikir. Nanti bila orang kampung kenakan tiket masuk, ada la yang menyalak pula nanti. So, please la ya. Benda simple je. Jangan jadi bengap sangat. Huh!
Nur Sajat
“Di manakah akal fikiran yang telah diberikan oleh Allah SWT jika anda tidak menggunakannya?”
River cruise Sungai Perak
Lokasi seterusnya ialah ke Dataran Lembah Sungai Perak. Kat sini ada jeti untuk menaiki river cruise. Aku tak sure waktu ia beroperasi tapi masa kami sampai jam 9.30 pagi tu dah boleh naik bot. Harga untuk seorang ialah RM10. Satu yang aku suka kat sini ialah walaupun cuma kami 3 orang je, tapi tetap boleh jalan. Tak perlu nak tunggu bot penuh dulu.
Cruise ni mengambil masa lebih kurang 30 minit menyusuri Sungai Perak. Dari sungai ni, kita boleh saksikan pemandangan Masjid Ubudiah, Istana Iskandariah, bangunan serba putih dengan kubah keemasan, lokasi penggambaran filem Anna and the King, melalui Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah dan beberapa lokasi lagi. Katanya jambatan ni binaannya diinspirasikan dari London Bridge.
Ada juga satu kawasan di situ yang dinamakan Lubuk Mat Anjin dikatakan ada terowong lama yang menghubungkan sampai ke Tapah. Jauh tu. Sahih atau tak, wallahu’alam.

Medan Kraftangan Lembah Kuala Kangsar
Habis je river cruise dan sebelum beredar dari kawasan ni, kami singgah di medan kraftangan. Depan jeti ni je. Belilah sikit cenderahati terkenal kat Kuala Kangsar ni iaitu labu sayong. Beli yang comel-comel untuk member-member rapat dan aku beli satu hat yang boleh isi air tu. Saja untuk buat hiasan a.k.a menyemakkan lagi rumah aku! Hahaha…

Istana Kenangan yang ikonik
Istana kenangan ni turut dikenali sebagai Muzium Diraja Kuala Kangsar. Bangunan yang dibina pada 1926 sangat sinonim dengan negeri Perak dan Kuala Kangsar khususnya. Dari dulu teringin nak pergi tapi tak pernah sampai. Seperkara yang aku ingat sangat pasal istana ni ialah ia dibina tanpa menggunakan paku besi langsung. Hebatkan pertukangan orang dulu-dulu?
Kat sini pun banyak spot-spot OOTD yang menarik terutamanya pada tingkap-tingkap kayu klasik tu. Kalau pakai baju Melayu segala bagai, memang meletoppp la gambar korang kat sini. Anyway, muzium ni masuk percuma je. Ia dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 4.30 petang kecuali hari Jumaat ia ditutup seketika dari jam 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang (waktu solat Jumaat).

Masjid Ubudiah dengan kubah emas
Masjid Diraja Kuala Kangsar ni dibina pada tahun 1913 dan dirasmikan pada tahun 1917. Finally dapat ziarah dan solat sunat dalam masjid ni. Selama ni aku dok bayangkan masjid ni punyalah besar. Tapi sebenarnya comel je. Kapasitinya ialah 800-1000 jemaah pada satu-satu masa. Tapi binaannya sangat cantik terutama bentuk kubahnya yang berwarna keemasan tu.
Oh, selain melawat masjid, kami sempat pekena cendol kat depan masjid tu untuk menghilangkan dahaga. Cuaca pun memang panas. Lega sikit rasa.

Sebelum beredar, kami berjalan-jalan di sekitar kawasan masjid dan terjumpa beberapa bangunan lama yang telah usang. Sayang betul sebab senibinanya sangat cantik. Kalau aku lah ada kuasa dalam kerajaan atau kementerian berkenaan, for sure aku akan pastikan bangunan-bangunan lama ni terpelihara sebab ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Salah satu daripadanya ialah Baitul Annur, bekas rumah agam keluarga diraja Perak yang kami sempat lepak mengambil gambar tu. Cantik betul bangunannya. Tapi sayang, dibiarkan usang ditelan zaman.

Lunch di Rumah Makan Rendang Tok Yoep
Kami singgah makan di sini selepas dicadangkan oleh ChatGPT! Hahaha… Tapi member aku kata rendang kat sini sedap. Tapi sayangnya aku tak order pun rendang sebab tekak aku nak pekena ikan goreng panas-panas dengan sambal. Wan dan Nad masing-masing order rendang daging dan ayam tapi aku tak rasa pun. So, tak boleh nak share okay ke tak. Okay kot kan? Tapi set ikan siakap goreng yang aku order tu memang aku suka. Garing, panas-panas, pekena pula dengan sambal belacan, kicap cili dan kuah kari. Memang sedap. Lately aku suka betul kuah kari style utara ni. Tatau kenapa. Ni gara-gara makan kat Halim di Langkawi tu la.


Sambung berendam di sungai homestay
Habis je lunch, kami terus balik ke homestay untuk berehat dulu sebelum keluar semula lepas asar nanti. Sempat la nak berendam kat anak sungai depan tu. Encik Saleh dah letak kepingan besi untuk menghalang laluan air so that takungan air dalam kolam tu tinggi sikit untuk kami berendam.

Jalan-jalan sekitar bandar Kuala Kangsar
Dah puas menyejukkan diri, kami bersiap untuk keluar semula sebab aku nak shoot beberapa lokasi di sekitar bandar untuk vlog aku. Antaranya clock tower, pejabat pos, murals dan lain-lain lagi.
Dah cukup shots, kami ke Jimboy untuk dinner.

Dinner di Restoran Jimboy
Wan ajak ke restoran ni sebab dia mengidam nak makan pizza. Aku dengan Nad pula dok bedal spaghetti carbonara. Untuk minuman, kami memlilih mango dan chocolate smoothie. Tak lupa, cheezy potato wedges juga. Makanannya overall okay. Tempat pun selesa.
Selesai makan, kami terus balik untuk berehat. Rasa penat sangat hari ni sebab seharian keluar berjalan. Tapi melihat video dan gambar-gambar yang cantik tu, rasa berbaloi sangat.


Hari ketiga: Kuala Kangsar – Kuala Sepetang – Cyberjaya
Road trip 3H2M ke Kuala Kangsar telah sampai di penghujungnya. Cepat nau masa berlalu. So, pagi ni kami bersiap terus untuk check-out. Sempat bersalaman dengan Encik Saleh sebelum bertolak. Lokasi pertama pagi ni, mencari kedai roti canai.

Breakfast roti canai di Warung Pulut Dagin Hamid
Jauh juga kami berpusing-pusing mencari gerai tepi jalan sampai ke Padang Rengas! Last-last terjumpa warung tepi jalan ni. Nampak pula ada signage roti canai, terus order sebagai hidangan pertama! Hahaha. Next kami order nasi lemak daging. Dua-dua hidangan ni sedap. One thing aku perasan, roti canai gerai Melayu ni lebih “berlemak dan berasa” berbanding roti canai mamak. Betul tak? Aku rasa camtu la. Sedap!
Pakcik dan makcik yang meniaga roti canai tu pun sporting. Redho je aku amik video diorang. Cakap nak masuk Youtube. Wah! Glamour la makcik. Katanyerrr!!! Hahaha…


Singgah lagi di Labu Kubong
Lepas makan, kami singgah di sini sekejap. On the other side. Dekat area homestay. Plannya nak naik tram/buggy sebab semalam on the balik tu ternampak. Rupanya servis tu ada pada hujung minggu sahaja – Sabtu dan Ahad. Weekdaya tarak. So, kita lepak sekejap je la ambil gambar sebelum bergerak ke tempat lain.

Victoria Bridge – jambatan penuh sejarah
Lokasi terakhir yang kami tuju di Kuala Kangsar ni terletak di Enggor. Ia merupakan antara jambatan tertua di Malaysia yang dibina pada tahun 1897 dan siap pada tahun 1900. Jambatan yang merentasi Sungai Perak ni digunakan sebagai laluan keretapi dari Perai ke Johor Bahru.
Memang klasik sangat suasana kat sini. Korang macam dibawa ke zaman kolonial. Aku dan Wan berjaya berjalan sampai ke hujung. Nad halfway pun tak sampai! Hahaha.. Dia gayat, sama je macam aku. Aku tak boleh jalan di laluan rel tu sebab plat besinya renggang. So, boleh nampak bawah. Gayat hawau! Aku kena tumpang berjalan di laluan motor, barulah okay sikit. Aku rasa jambatan ni pun perlu diselenggara sebab ada bahagian kayu yang dah reput dan ada bahagian di situ yang tak berapa nak kukuh. Kalau korang nak jalan kat sini, kena lebih berhati-hati la. Sat gi terjunam ke dalam sungai.. kes naya pak abu…
Selesai bergambar di sini, kami terus bergerak balik meninggalkan Kuala Kangsar.

River cruise Kuala Sepetang
On the way balik tu, kami sempat berbincang untuk singgah beraktiviti di Taiping. Asalnya mungkin nak pekena cendol atau jalan-jalan kat Tasik Taiping. Dan memandangkan aku dah 2 kali ke Taiping, aku suggest maybe boleh lunch mee udang yang famous kat Kuala Sepetang tu. So, cadangannya diterima. Dan oleh kerana masing-masing masih lagi kekenyangan, aku just bagitau kat Kuala Sepetang tu ada river cruise. Kot la depa berminat. Proceed terus ya! Hahaha…
Sampai di Kuala Sepetang atau dahulunya dikenali sebagai Port Weld ni, semasa nak park kereta tu, ada sorang bro Cina ni dok tanya. Kami pun macam blur sebab ingat dia nak tegur pasal parking. Rupanya dia tanya nak pergi river cruise tak. Bila aku tengok balik muka dia dan cara dia cakap, aku macam teringat. So, aku check balik Youtube aku… sah! Memang dia yang bawa aku dulu river cruise kat sini tahun 2017. Hahaha. Aku tunjuk video tu kat dia pun, dia tergelak.
So, untuk trip ni, kami ambil satu bot sebab malas nak menunggu. RM100 satu bot. Kira RM33 seorang la lebih kurang. Okay la tu. Trip lebih kurang 40 minit merangkumi tengok perkampungan nelayan, pi paya bakau sat, singgah fish farm dan beri makan burung helang.

Melihat kampung nelayan
Penduduk di perkampungan nelayan di sini terdiri daripada kaum Cina berketurunan Teochew dan Hakka. Mereka mengusahakan ternakan ikan sangkar, menangkap kerang dan ikan laut dalam. Terdapat beberapa homestay kat sini dan aku pun pernah stay semalam di The Happy 8 Retreat yang menghadap Sungai Sepetang ni.

Ikan buntal comel di fish farm
Selepas menyusuri perkampungan nelayan, bro tu bawa kami singgah di fish farm. Mulanya aku macam nak skip je tempat ni tapi actually seronok pula. Sebab kat sini dia tunjukkan ternakan belangkas dan ikan talapia merah. Dan yang paling menarik bila dia tunjukkan ikan buntal. Boleh letak kat tangan dan posing untuk ambil gambar. Mula-mula macam seram tapi actually okay je. Badanya yang berduri tu aku boleh describe macam tekstur lidah kucing. Kasar-kasar camtu.
And then, ada pula ikan yang dinamakan ikan sumpit a.k.a archerfish. Menariknya ialah ikan ini akan “menyumpit” air untuk mendapatkannya yang berupa ikan-ikan kecil yang dilekatkan pada batang aku. Amazing kan?

Aktiviti memberi makan helang
Last aktiviti sebelum balik ialah memberi makan helang. Lebih kurang macam di Langkawi tu. Boleh tahan banyak juga helang-helang di sini. Tapi satu spesis je la iaitu brahminy kite yang badannya berwarna perang dan kepalanya berwarna putih. Seronok dapat shoot beberapa slow motion video untuk vlog aku.
So, itu lah aktiviti impromtu kami di Kuala Sepetang ni. Selepas tu, kami singgah solat jamak di Masjid Matang sebelum pekena mee udang untuk lunch.

Pekena mee udang banjir Mak Teh
Ni merupakan kali ketiga kot aku ke Mee Udang Banjir Mak Teh ni. Last makan tahun 2017 dulu. First time makan Mee Udang Mak Jah. Tapi sebab tutup, maka kami singgah di sini.
Kalau dah ke sini, tak makan mee udang memang tak sah. Kami order yang biasa punya kot. Ada 6 ekor udang sederhana besar dalam tu. And then sebab tamak, pi order lagu sambal tumis udang dengan udang masak kunyit. Banyak pulak udang kat dalam tu. Jenuh kami bertiga nak habiskan. End up, kami tapau bawa balik.
So, lepas makan ni, kami meneruskan perjalanan pulang. Alhamdulillah, kami selamat sampai di Cyberjaya lebih kurang jam 6.45 petang. Syukurrr…

Penutup
Ate kome, begitulah sikit sebanyak coretan teman tentang road trip 3H2M ke Kuala Kangsar ni. Hahaha.. Terima kasih Wan dan Nad yang sudi ajak aku untuk join trip kali ni. Memang aku puas hati sebab ada beberapa lokasi yang ada dalam wishlist aku ni dapat aku lawati.

Anyway, bagi yang belum subscribe channel aku, silalah subscribe, share dan like the videos. Mudah-mudahan dapat aku nak buat travel content lagi di masa hadapan. Dan terima kasih juga sebab video Episod 1 yang aku post tu jauh juga perginya. Sejak aku post pada 3 hari yang lepas, ia dah mencecah 17,000 tontonan! Thanks soooo much pada siapa yang dah tengok dan share.
Sehingga berjumpa lagi dalam post akan datang. Take care and see ya!
English summary:
This 3D2N road trip took us to Kuala Kangsar, Perak for a relaxing getaway filled with scenic countryside, delicious local food and memorable experiences. We began with a nasi lemak breakfast overlooking the paddy fields in Sekinchan before spending two nights at Teratak Jannah, a charming orchard homestay surrounded by durian, rambutan and other tropical fruit trees. A peaceful stream runs through the property, just 1 km from Lata Perahu Waterfall. During our stay, we explored iconic attractions including Istana Kenangan, Masjid Ubudiah, Victoria Bridge and the filming location of Zombie Kampung Pisang. We also enjoyed a relaxing River Cruise along the Perak River and admired the stunning paddy fields at Kampung Labu Kubung. Before heading home, we stopped at Kuala Sepetang for famous prawn noodles, another river cruise, a fish farm visit and eagle feeding. If you’re planning a road trip, I hope this guide inspires your next adventure.

Leave a Comment