Sharing is caring

Pengenalan trip Labuan Bajo 6H5M

Assalamualaikum dan salam sejahtera khas untuk pembaca-pembaca budiman! Hahaha.. Bertemu kembali dalam post kali ni di destinasi terkini yang aku pergi iaitu di Labuan Bajo, Indonesia! Yessss!!! Aku akan kongsikan bajet dan itinerari Labuan Bajo dalam post ni.

itinerari labuan bajo bajet

Tapi sebelum tu, apa kata korang subscribe, like dan share video-video kat channel Youtube aku tu. Moga-moga tercapai impian aku untuk mendapat Silver button suatu hari nanti. Insyallah…

Wishlist menjadi kenyataan!

Pertama sekali, syukur Alhamdulillah kerana aku diberi kesempatan untuk pergi ke destinasi pelancongan yang dah lama ada dalam wishlist aku. Tetapi kerana sebelum ini aku pernah check harga tiketnya sahaja agak mahal, hampir MYR 1,400 ke atas dengan perjalanan yang agak lama (perlu transit di Bali terlebih dahulu), maka aku pendamkan sahaja untuk ke sini. Aku sebenarnya ada plan dengan travel buddy aku, Barak nak pi sama ada ke Bali atau Lombok masa birthday aku. Dok bandingkan mana yang murah antara keduanya tu. Tapi plan tu tak finalise pun lagi.

Terima kasih Pemburu Tiket Murah!

Dan nak dijadikan cerita, pada awal Julai yang lalu, sebelum tidur seperti biasa aku saja browse Twitter untuk baca news serba sikit. Tengah asyik browse, ternampak posting dari akaun Pemburu Tiket Murah tentang promosi direct flight AirAsia ke Labuan Bajo. Apalagi bila nampak ada yang reply dapat beli return ticket MYR 300-400 lebih! Terus segar biji mata aku ya. Daripada nak tidur, terus plan date nak pergi dan message Barak kalau dia berminat nak pergi. Kalau dia tak minat pun, aku nak paksa juga sebab ini peluang keemasan sebab tiketnya murah. Hahahaha.

So, the next day tu, dia datang rumah aku discuss pasal itinerary Nha Trang, Vietnam sebab in few days kami akan ke sana. Tapi sebelum book aktiviti di Nha Trang tu, aku cadang nak beli tiket dulu. Just grab je ticket filght, add-ons tu later boleh tambah. Makanya, jenuh la kami adjust date supaya harga tiketnya okay. Plan berapa hari nak ambil AL dan sebagainya. At last, kami berdua setuju untuk ke sana selama 6 hari 5 malam. Ngam-ngam pula kena masa birthday aku. Hahaha.. tapi tak plan pun, cumanya date tu harga return ticketnya dapat paling murah iaitu MYR 437 seorang. Alhamdulillah, ada saki-baki travel fund tu, boleh la guna dulu.

Selepas book flight ticket, aku book pula hotel yang aku plan nak stay di sana. Itinerary aku semestinyalah di Le Pirate Island, private island yang terdapat di sana. Dah lama aku aim nak stay sini kalau pergi ke Labuan Bajo. Asalnya nak book penginapan jenis glamping tu, tapi penuh la pula. Takpe lah, dapat beach hut pun okay, janji dapat stay kat sana. 

Dari solo trip ke group trip

Okay, selesai bab booking flight dan hotel. Now, seperkara lagi untuk aku pertimbangkan. Plan aku ke Labuan Bajo ni dulu asalnya nak solo travel je. Tapi korang faham-faham je la kos untuk solo travelling ni agak tinggi. Alhamdulillah dengan adanya seketul Barak tu, kos untuk travel dapat dikongsi bersama especially kos penginapan dan transportation.

Dan aku pernah berborak dengan member aku, Fatin pasal trip Labuan Bajo ni. Ini pun sebenarnya wishlist dia dan dia nak sangat pergi ke sini. So, kalau aku tak ajak dia ni, sure dia akan merajuk gila dengan aku. Hahaha. Jadi, bila aku dah settle book flight dan hotel semua, aku beritahu dia dan share semua itinerary aku, just in case dia nak join sama.

Kalau dia nak, then boleh book sendiri based on apa yang aku share tu. Bila dia tengok itinerary aku, dia kata macam terlalu lama sebab 6 hari. Yalah, orang ada suami, anak-anak dan kerjaya yang sentiasa sibuk, lama tu 6 hari. Kalau dia nak join pun maybe like 4 hari camtu lah. Tapi bila nak buat 4 hari tu, adjust sana-sini harga tiket mahal. End up dia book exact date macam aku juga sebab tu je yang murah. Tapi yang kelakarnya, husband dia mati-mati ingat Labuan kat Sabah tu. Hahaha. Bukan itu saja, dia ajak sorang lagi member kami, Ed untuk join sekali. So, okay la dia boleh share juga kos penginapan dan lain-lain. Jadi begitu cerita, dari trip ni aku dengan Barak je, and then turut disertai oleh Fatin dan Ed. Jenuh la aku nak jadi bodyguard bini orang ni!!! Hahaha…

Anyway, mari aku share serba sedikit tentang bajet dan itinerari trip di Labuan Bajo untuk 6H5Mni. Ayuh!

Kenapa Labuan Bajo?

Hati aku tertarik dengan Labuan Bajo bila pertama kali melihat pemandangan Bukit Padar di media sosial beberapa tahun yang lalu, sekitar 2016 kot, masa tengah study nak pergi ke Lombok. Tapi sebab flightnya dulu mahal, aku hold dulu nak ke sana. 

Labuan Bajo terletak di wilayah Nusa Tenggara, di hujung barat Pulau Flores, Indonesia. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke sini mengambil masa sekitar 3 jam 40 minit. Labuan Bajo bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semulajadinya, malah ia juga terkenal sebagai habitat asal biawak Komodo iaitu reptilia terbesar dalam keluarga biawak. 

Dikatakan waktu terbaik untuk melawat Labuan Bajo ialah dari bulan April sehingga Disember. Kalau korang nak melihat kehijauan Bukit Padar tu bolehlah datang sekitar time ni. Sekitar Mei ke September ialah musim kering. So, pemandangan landskap di sini tak berapa menghijau. Disember ke Mac pula ialah musim hujan dengan kadar hujan yang tinggi, ombak besar dan cuaca yang tak menentu. Tapi sekarang ni, bab-bab cuaca ni tak menentu. Sebelum korang plan nak ke sini, better check dulu ramalan cuaca. At least, dapat sedikit gambaran keadaannya nanti.

Bajet ke Labuan Bajo 6H5M

Berikut ialah bajet aku untuk trip Labuan Bajo ni. Kos bagi hotel aku share dengan Barak manakala kos transporation kami kongsi berempat. The rest tu semua perbelanjaan sendiri. Untuk bajet dan itinerari Labuan Bajo yang lebih detail, korang boleh download di sini.

Flight
AirAsia Return Ticket
KUL-LBJ: 1050 – 1430 (3h 40m)
LBJ-KUL: 1455 – 1835 (3h 40m)
Pick-a-seat, xtra carry on 7 kg, insurance
MYR 624.50
Hotel
Bajo Hotel x 1N (without breakfast)
Le Pirate Island x 2N (with breakfast)
Loccal Collection Hotel Komodo x 1N (with breakfast)
Luwansa Beach Hotel x 1N (with breakfast, free airport transfer)
MYR 1,446.00 / 2
MYR 723.00
Island Club Package (Le Pirate Island)
lunch buffet, 3 course dinner & activities
325k per day/person (MYR 93 x 2 nights)
MYR 186.00
Komodo Full Day Tour
Komodo Island, Manta Ray, Padar Island Hiking, Pink Beach dan Kanawa Island
IDR 1,350,000 (MYR 390.00)
National Park Entrance Fee – IDR 350,000 (MYR 101.00)
MYR 491.00
Transportation
Loccal Hotel to Luwansa Beach Hotel
IDR 150,000 (MYR 42) / 4
MYR 10.50
TOTAL (MYR)MYR 2,035.00

Note: Tidak termasuk lain-lain kos pengangkutan antara destinasi, makan, sim kad, shopping dan sebagainya.

Aku menukar wang tunai sebanyak MYR 1,000 untuk perbelanjaan merangkumi bayaran untuk Island Club Package, tour, transportation, makan dan lain-lain. Bayaran untuk hotel telah siap dibayar semasa booking. So, balance untuk makan dan transportation tu ada dalam MYR 300 lebih la. Tak cukup juga sebenarnya untuk aku nak shopping serba sikit. So, aku withdraw lagi kat ATM dalam IDR 200,000 (lebih kurang MYR 60) dan ada yang aku bayar guna debit card je. So, total belanja tu sebenarnya dalam MYR 500 juga la. Kesimpulannya, kos keseluruhan trip aku ke Labuan Bajo untuk 6 hari 5 malam ni berjumlah lebih kurang MYR 2,500 seorang.

Currency exchange

As per September 2024, IDR 1,000 bersamaan dengan MYR 0.28.

SatuSehat Health Pass

Semua penumpang dan kakitangan pesawat yang tiba dari luar negara diwajibkan untuk mengisi pas kesihatan ini. Pas ini boleh diisi bermula 3 hari sebelum tarikh perjalananan. Isi online form di sini.

Waktu solat di Labuan Bajo

Waktu solat terkini di Labuan Bajo boleh rujuk di sini.
Lokasi: Komodo, West Manggarai Regency, East Nusa Tenggara, Indonesia. (Qiblat = 292°)
Nota: Just in case di Le Pirate Island tiada akses internet, Muslim travelers mungkin boleh install app kiblat terlebih dahulu dan semak kiblat menggunakan sudut lokasi tersebut. Tapi Alhamdulillah, sepanjang berada di sini, ada je internet connection.

Simkad dan akses Internet di Labuan Bajo

Aku menggunakan pakej Celcom 7-Day Unlimited Pass yang berharga MYR 58. Selain daripada ni, korang boleh try pakej yang ditawarkan oleh telco korang ataupun menggunakan TuneTalk dan sebagainya. Nak beli simkad local pun boleh. 

Pengangkutan di Labuan Bajo

Setelah sampai di Labuan Bajo, dari airport ke Bajo Hotel, kami menggunakan airport taxi sahaja dengan harga IDR 100,000. Dari Loccal Collection Komodo Hotel ke Luwansa pula dengan bayaran sebanyak IDR 150,000. Bagi hotel-airport transfer, pihak Luwansa Hotel menyediakannya dengan percuma. Dan pada last day, dari Luwansa kami ke town dengan menaiki Grab Bike a.k.a gojek. Grab car tiada di sini. Yang ada cuma teksi sahaja. Gojek tu kami book menggunakan app Grab je.

Itinerari di Labuan Bajo 6H5M

Itinerari Labuan Bajo ni aku plan seperti ini:

Day 1 : KUL – LBJ 
Day 2 & 3 : Le Pirate Island
Day 4 : Le Pirate Island – Loccal Collection Komodo Hotel
Day 5 : Komodo Full Day Tour – Luwansa Beach Hotel
Day 6 : LBJ – KUL

Jadi, itinerarinya, first day sampai tu, kami stay di hotel yang murah je dulu iaitu Bajo Hotel. Just untuk rest. The next day tu, baru kami ke private island iaitu Le Pirate Island dan stay di sana selama 2 malam. Dan salah satu sebab kenapa aku pilih Bajo Hotel ni ialah kerana ia terletak hanya 300 m ke Le Pirate Office, berhampiran dengan jeti untuk ke pulau tersebut.

Then, selepas di Le Pirate, kami stay di Loccal Collection Komodo Hotel, ni pun ada dalam list aku sebab hotel ni look and feelnya ala-ala Santorini. Then, last day kami stay ni another hotel yang berhampiran pantai. Kiranya, selama 6 hari di sini, kami stay di 4 hotel yang berbeza. Dan Komodo Island Tour aku book juga sebab kalau tak ambil tour ni, tersangatlah ruginya bila dah berada di Labuan Bajo. Tour ini merangkumi beberapa lokasi utama pelancong di sini iaitu Komodo Island, Manta Ray, Padar Island Hiking, Pink Beach dan Kanawa Island.

Hotel di Labuan Bajo

Bajo Hotel

  • Aku memilih hotel sebab ia antara yang paling murah. Jadilah untuk berehat semalam sebab the next day tu kami nak ke Le Pirate Island.
  • Hotel ni terletak berdekatan dengan office dan jeti untuk ke Le Pirate Island tu. Boleh jalan kaki je dengan jarak lebih kurang 300 m.
  • Basic hotel je, so jangan expect lebih-lebih sangat. Aircond okay je tapi airnya halusssss je. Wifi ada, so not that bad la.
  • No breakfast. Tapi ada gerai atau warung pagi halal untuk korang breakfast yang terletak di hadapan Masjid Agung Nurul Falaq. Menunya nasi kuning.
  • Lokasi pun okay. Dekat dengan Waterfront Marina.

Le Pirate Island – Adult Only

  • Private island hotel berkonsepkan eco-friendly. Sangat cantik dengan pasir putih dan air laut yang crystal clear.
  • Adult only island – individu bawah 16 tahun tidak dibenarkan bagi menjamin ketenangan suasana di sini.
  • Mostly yang datang ke sini ialah foreigners terutamanya dari Europe dan lain-lain.
  • Terletak lebih kurang 1 jam menaiki boat dari jeti di Waterfront Marina tu.
  • Signal wifinya kuat di kawasan restaurant tapi still boleh access dari hut kami sebab kedudukannya agak berdekatan. Line mobile pun ada juga.
  • Terdapat dua jenis penginapan – glamping (dengan attached bathroom) dan beach hut (dengan shared bathroom).
  • Shared bathroom berasingan antara lelaki dan wanita. Ada 2 toilet dan 2 shower untuk setiap jantina. Shower areanya open air. Tiada pintu, cuma ada tirai daripada cengkerang. Manakala untuk toilet ada bidet dan ada pintu. Jangan risau.
  • Coffee, tea dan kudap-kudapan seperti biskut dan muesli ada disediakan di cafe. Korang boleh makan anytime korang nak.
  • Harga bilik termasuk dengan free return shuttle (jeti ke island mengikut jadual) dan breakfast. Kalau korang nak keluar masuk pulau ni di luar waktu schedulenya, boleh je tapi dengan bayaran extra sekitar IDR 250,000 seorang (lebih kurang MYR 75).
  • Island Club Package ditawarkan dengan harga IDR 325,000 semalam/per person. Dengan pakej ini tetamu boleh menikmati lunch buffet, 3 course dinner dan unlimited access untuk snorkeling dan canoeing.
  • Banyak aktiviti boleh dilakukan di sini sama ada snorkeling, canoeing, games, movie screening dan lain-lain. Hiking pun boleh sebab di pulau ni terdapat bukit.
  • Snorkeling boleh dilakukan di hadapan resort ni je dan coralnya cantik terutama di kawasan yang dalam. Terdapat banyak spesis ikan. Baby shark pun ada dan selalu berenang di persisiran pantai.
  • Jangan lepaskan peluang buat astrophotography sebab di sini kurang light pollution dan langitnya sangat clear. Kalau korang bernasib baik boleh rakamkan jutaan bintang dan milky way.

Perkara lain yang korang perlu tahu

  • Limited electricity sebab mereka menggunakan panel solar. Peralatan bervoltan tinggi seperti hair dryer tidak dibenarkan.
  • Hut agak panas jika tiada angin bertiup. So, aku suggest kalau korang datang, mungkin boleh consider bawa usb fan kot. Kalau tak, redha je la bersauna kat dalam hut tu. Katanya akan datang, kipas akan dipasang untuk keselesaan pengunjung.
  • Jangan diharap shower dengan air yang menderu-deru. Air pada showernya kecil saja sebab mereka jimat menggunakan air di sini. Kalau tak silap aku air dibawa air main island. So, kena menggunakan air dengan berhemah.
  • Drone tak dibenarkan terbang di dalam area resort. Cuma boleh terbangkan di area pantai dan laut.
  • Basically makanan luar tidak digalakkan dibawa masuk. Tapi kalau korang nak bawa, hanya boleh makan di dalam hut atau khemah korang je. Tak boleh makan di kawasan restaurant. Dan kena bawa balik semua plastik bungkusan atau sampah tu dan buang di main island nanti.
  • Mereka tiada halal kitchen – walau bagaimanapun ada pilihan hidangan seafood atau vegetarian. Kalau korang was-was, maybe boleh consider untuk bawa makanan sendiri tapi macam aku cakap di atas tadi, makanan luar tak digalakkan dibawa masuk. Tak boleh bawa makan di restaurant dan kena bawa balik semua bungkusan sampah tu dan buang di main island nanti.
  • Kalau korang stay di sini, aku suggest jaga tingkah laku dan jangan terlalu bising sebab rata-rata di sini untuk mencari ketenangan. Mostly yang datang sini relax, baca buku dan lain-lain. Tiada muzik, tiada perbualan yang kuat dan sebagainya. Senang cakap, suasananya tenang.

Loccal Collection Hotel

  • Aku tertarik dengan hotel berwarna putih dan biru ini kerana suasananya seperti di Santorini, Greece.
  • Biliknya selesa, aircond dan hot shower berfungsi baik. Wifi pun ada. Cuma bilik aku takde view la. Kalau buka tingkap tu, pemandangannya dinding! Hahahaha. Kalau korang ada extra bajet, pi la duduk bilik view laut yang ada pool tu. Boleh OOTD sampai lebam!
  • Pemandangan dari hotel ni sangat cantik. Memang sesuai untuk kaki OOTD dengan banyak spot yang menarik
  • Harga bilik termasuk dengan breakfast. Kami stay di sini cuma semalam je dan keesokkan harinya kami check-out awal sebab Komodo Trip tu start seawal 6.00 pagi. So, pihak hotel menyediakan breakfast box untuk kami dengan pilihan American breakfast atau mee goreng.

Luwansa Beach Hotel

  • Aku memilih hotel ni untuk mendapatkan suasana di tepi pantai. Ia terletak jauh sedikit dari kawasan bandar di sekitar Marina Labuan Bajo.
  • Harga bilik bersekali dengan breakfast untuk 2 orang dan free airport transfer.
  • Persekitarannya bersih dan mempunyai taman dengan bunga-bungaan yang cantik.
  • Biliknya bersih dan selesa, ada kemudahan wifi, hot shower dan aircond berfungsi dengan baik.
  • Pilihan makanan untuk breakfast buffet sederhana je tapi mencukupi bagi aku. Ada mee goreng, nasi, lauk-pauk, roti, minuman panas dan sejuk serta buah-buahan.
  • Sunset kat sini cantik juga cuma sayangnya pantai kat sini kotor dengan sampah-sarap dari kawasan sekitar. Mudah-mudahan akan ada usaha untuk membersihkan kawasan pantai di sini.

Makanan Halal di Labuan Bajo

  • First time ke Labuan Bajo ni kami tak explore sangat makanan kat sini. Walaupun majoriti penduduk Flores ni beragama Kristian, tetapi menurut Pak Robert, pemandu teksi yang menghantar kami ke hotel pada hari pertama tu, kawasan di sekitar Bajo Hotel tu ramai penduduk Islam. Masjid Agung Nurul Falaq juga terdapat di kawasan ni, so nak dapatkan makanan halal tak susah sangat.
  • Berhampiran Masjid Agung ni terdapat kedai makan Nasi Padang dan warung pagi yang menyediakan makanan halal.
  • Untuk seafood pula, kami makanan di Kampung Ujung, yang terletak di tepi laut berhampiran pasar malam. Banyak pilihan makanan laut di sini dengan harga yang berpatutan dan agak murah.
  • Di hotel yang kami stay pula iaitu Loccal Collection Komodo Hotel dan Luwansa Beach Resort, makanannya adalah halal.
  • Di Le Pirate Island, pengunjung mempunyai pilihan seafood dan vegetarian.

Aktiviti di Labuan Bajo

Full Day Trip: Komodo Tour

  • Aktiviti utama kami di Labuan Bajo ialah Komodo Tour. Tour ni aku booked dari Loccal Collection Hotel Komodo. Ini bagi memudahkan urusan kami sebab tour agent ni terletak di hotel ni juga.
  • Kalau korang berminat, boleh book melalui link di atas. Mungkin ada juga tour di luar sana yang boleh tawarkan pakej yang lebih murah. Maybe korang perlu study lebih sikit la kot. Pakej full day tour ini berharga IDR 1,350,000 (MYR 390) seorang merangkumi pick-up/drop-off hotel, lunch, mineral water, fruits, tea time dan peralatan snorkeling.
  • Harga tidak termasuk entrance fee national park dan lain-lain. Ia berjumlah IDR 350,000 (MYR 101) untuk seorang.
  • Tour ini merangkumi 6 lokasi iaitu Padar Island, Pink Beach, Komodo Island, Taka Makassar, Manta Point dan Kanawa Island. Tapi masa kami pergi ni, tak singgah Kanawa Island sebab dah tutup. So, 5 lokasi je la. The best part untuk tour ni, kami dapat menyaksikan 2 ekor manta ray di depan mata. Puas hati sangat!
  • Servisnya okay, staff pun baik menjaga keselamatan kami.

Nota: Kalau korang menggunakan snorkeling gear untuk aktiviti snorkeling, aku nasihatkan silalah bawa sanitizer spray dan yang sewaktu dengannya untuk sanitize dulu bendalah tu, basuh bersih-bersih sebelum korang sumbat dalam mulut. Jangan jadi macam aku, nampak je air laut yang cantik, terus menggelelupur nak terjun, tak ingat apa ke benda, main sumbat je benda tu dalam mulut. Sudahnya, balik je sini, batuk teruk ya, hazab gila rasa dada aku. Terjangkit apooo ntah tapi aku yakin penyebabnya mungkin dari snorkeling tu. So, berhati-hati ya kawan-kawan. Cuci dulu bersih-bersih benda tu, baru guna.

Beli souvenirs di Labuan Bajo

Kado Bajo Souvenir Store

  • Kalau korang pergi melancong, tak sah kalau tak membeli souvenirs untuk dibawa pulang kan? Di Labuan Bajo ni, banyak je kedai-kedai di sepanjang jalan di Jl. Soekarno-Hatta yang menjual souvenirs sama ada fridge magnet, gelang dan sebagainya. Aku lalu di area ni sebab Bajo Hotel tu terletak kat jalan ni. Harganya pun boleh la. Nak kata murah sangat pun tak juga. Fridge magnet yang biasa tu pun dalam IDR 30,000 (lebih kurang MYR 9.00 satu). Kalau ikut perangai cheapskate aku ni memang agak mahal sebab aku masih terperangkap dalam dunia fridge magnet sekeping paling mahal pun 5 hengget. Wujud lagi kah? Hahahaha…
  • Di Komodo National Park pula, aku dapat beli fridge magnet dengan harga IDR 25,000 sekeping which is okay la juga kot.
  • Tapi kalau korang tak sempat nak membeli, boleh je singgah ke Kado Bajo Souvenir Store yang terletak betul-betul di hadapan airport. Kami ke sini masa last day sebelum balik. Check-out awal dari hotel, singgah sini dulu sebelum berjalan ke airport.

One-stop centre

  • Di sini kira one-stop centre untuk ole-ole khas Labuan Bajo. Semua ada dari fridge magnet, t-shirt, makanan dan segala jenis cenderahati. Banyak pilihan.
  • Fridge magnetnya pun pelbagai design dan cantik tapi harganya tak berapa nak rahmah la. Aku beli 2 keping dengan harga IDR 65,000 satu iaitu lebih MYR 18 sekeping. Mahal nak mampss.. tapi beli je la buat kenangan. Huhuhu…
  • Untuk makanan pula, ole-ole yang terkenal kat sini ialah kompiang, sejenis kuih yang berinti. Ada pilihan inti keju, coklat dan lain-lain. Aku beli 2 perisa untuk officemates aku. Sekotak tu ada 8 keping. Jadilah buat ghaso-ghaso…
  • Untuk pembayaran pula, boleh guna cash, credit card atau debit card. Kalau korang nak guna debit card, make sure aktifkan dulu oversea withdrawal ya. Satgi nak bayar, sangkut pula.
  • Kat sini pun ada disediakan khidmat membungkus kalau korang nak pack barangan yang dibeli. Dan di tepi kedai ni ada kafe untuk korang membeli minuman penghilang dahaga. Boleh minum sambil tengok barangan yang dibungkus sambil memikirkan berapa banyak duit yang dah terbang. Hahaha…

Anyway, memandangkan itinerari Labuan Bajo aku ni selama 6 hari 5 malam, aku pasti blog ni akan menjadi berjela panjang. Dengan itu, aku memutuskan untuk bahagikan blog ni kepada beberapa bahagian merangkumi aktiviti di Le Pirate Island, di Loccal Komodo Hotel, Komodo Tour dan selebihnya di aktiviti kami di sini sebelum pulang ke KL. Stay tuned dan selamat membaca okay!


English summary:

This 6-day 5-night Labuan Bajo travel guide features a detailed budget and itinerary, recommended hotels from affordable to luxury, a private island stay at Le Pirate Island, a full-day Komodo tour visiting Padar Island, Pink Beach, Komodo National Park, Taka Makassar and Manta Point, the best snorkeling spots, halal food options, popular souvenir shopping areas and essential travel tips for travellers.


Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.