Sharing is caring

Day 5: Komodo Full Day Tour

Hari yang dinantikan telahpun tiba! By the way, ini merupakan hari ke-5 kami di Labuan Bajo. Second last day. Esok dah nak balik. Cepatnya masa! Tak sedar percutian dah nak sampai ke penghujungnya. Takpelah, lupakan kisah sedih tu sekejap. Kita nak enjoy menikmati pemandangan indah Kepulauan Flores pada hari ini.

Okay, hari ni kami ada full day Komodo Tour yang akan bermula pada awal pagi iaitu seawal jam 6.00 pagi. Tour ini aku booked di Dtour Komodo, agensi pelancongan yang terdapat di Loccal Hotel ni. Asalnya masa tengah buat research pasal Loccal Hotel ni, ternampak tentang tour ni. So, selepas mengambil kira this and that, maka aku putuskan untuk ambil pakej Komodo ni dengan mereka. Ni juga bagi memudahkan kami nak bergerak di awal pagi. Tak payah pening nak uruskan transportation semua. Detail tentang tour ni aku ada share di sini kalau korang nak tahu:

http://omaralattas.com/2024/10/labuan-bajo-2024-itinerary-budget.html

Dan memandangkan tour ini bermula pada awal pagi dan berakhir pada lewat petang, kami perlu check-out awal dan simpan luggage di hotel. Habis tour nanti, baru kami akan ambil semula luggage sebelum bergerak ke hotel berikutnya. Alhamdulillah juga sebab pihak Loccal Hotel turut menyediakan breakfast box untuk kami yang tak sempat nak bersarapan pagi. Menu yang diberi ialah set American breakfast dan set mee goreng. Aku dan Barak memilih set American breakfast. Breakfast kami diletakkan di dalam kotak beranyam dari daun nipah. Cantik kotaknya. Diberi free pula tu. Fatin siap bawa balik ke Malaysia lagi. Aku terpaksa tinggalkan sebab takde space sudah.

Anyway, van kami sampai agak lewat sedikit sebab mengambil penumpang dari hotel lain. Kami berkumpul di Marina Labuan Bajo dan sebelum menaiki bot, pihak tour mengambil nama masing-masing dan memberikan gelang pada setiap ahli kumpuan. QR code juga diberikan untuk diambil gambarnya dan code ini nanti perlu diimbas di boarding gate. Bot yang kami naiki ni agak besar. Ada ruangan di bawah dan di bahagian atasnya hanya boleh diduduki kalau tak silap seramai 12 orang. Kami berempat semua naik di bahagian atas dan aku dengan Barak duduk di single seat di bahagian kiri dan kanan, bersebelahan dengan tempat duduk kapten. Bot turut dilengkapi dengan tandas. Sebelum memulakan perjalanan, pembantu kapten memberikan sedikit briefing tentang lokasi dan aktiviti sepanjang tour ni.

Perjalanan dari Marina Labuan Bajo ke Pulau Padar mengambil masa hampir sejam. Sepanjang perjalanan viewnya memang menarik. Dan syukur pada Allah sebab cuaca pada hari ini sangat elok dengan langit yang membiru yang menambahkan lagi keindahan di kepulauan Flores ni.

đź“ŤPulau Padar & Bukit Padar

Sampai sahaja Pulau Padar ni, mata aku dah terpaku dengan pemandangan indah di sekitar jeti yang terletak di kawasan teluk ni. Airnya sangat jernih dan biru! Tambahan pula terdapat beberapa ekor rusa Javan yang ada kawasan pantai di sini. Oh! Pengunjung semestinya penuh sesak la tapi takde la teruk sangat. Berhampiran dengan jeti terdapat kawasan teduhan bagi pengunjung untuk menunggu dan juga tandas. Di sini juga terdapat sebuah gerai yang menjual minuman terutamanya air kelapa. Dan di kaki bukit ni bersebelahan dengan tangga, terdapat beberapa peniaga yang menjual cenderahati berupa topi, fridge magnet dan sebagainya, Harga, minta maaf aku tak tahu sebab takde nak membeli pun.

Sebelum menaiki tangga mendaki Bukit Padar ni, pengunjung diberi peringatan agar tidak merokok di atas bukit tu sebab memandangkan sekarang ini sedang musim panas/kemarau. Puntung rokok boleh menyebabkan kebakaran di kawasan bukit yang sedang kering ni. Kami diberikan masa selama 2 jam untuk menjelajah Bukit Padar ni bermula dari jam 8.30 sehingga 10.30 pagi. Untuk mendaki Bukit Padar terdapat 815 anak tangga dan 5 pos pada ketinggian yang berbeza. Pos yang paling tinggi ialah Pos 5. Aku tak surelah boleh naik sampai sana atau tidak. Hahahaha.. Dan sepanjang perjalanan ni terdapat beberapa renjer yang sedia untuk membantu sama ada untuk memberi info ataupun untuk ambilkan gambar. Kami naik slow-slow je ke atas. Semput weh! So, kalau korang nak ke sini, make sure stamina kena cukup. Rajin-rajinlah bersenam! Hahaha.

Alhamdulillah, kami berjaya menawan Pos 1 hingga 3. Di Pos 3, pak renjer membantu kami mengambil gambar group photo terutamanya di kawasan yang diletakkan papan tanda “danger area”. Tapi kami takdelah pergi sampai ke hujung tu. Just kat tepi papan tanda tu je.

Fatin dan Ed hiking setakat Pos 3 ni je sebab mereka dah tak larat. Tapi aku dengan Barak gigih naik sampai ke Pos 4. Pos 5 tu kami lupakan sajalah niat nak mendakinya. Selain daripada dah pancit gila, laluannya agak curam dan ramai pengunjung di situ. Kami malas nak berhimpit-himpit dengan umat manusia di kawasan yang sempit. Walaupun rasa macam… ala.. tinggal satu je.. tapi takpelah. View di Pos 4 ni pun dah cukup memukau. Dan spot yang kami ambil tu agak baik kerana berjaya “menutup” pemandangan umat manusia di kawasan tu.

Aku rasa bersyukur gila sebab pemandangan di sinilah yang membuatkan aku bertekad untuk sampai ke Labuan Bajo ni. Lama kot aku simpan niat, since 2016 masa dok usha pasal travel ke Lombok dulu. Alhamdulillah, diberikan peluang oleh Allah untuk melihat alam ciptaan-Nya di sini. That’s one thing yang aku suka kalau travel di kawasan alam semulajadi ni.

Setelah hampir 2 jam menghabiskan masa di sini, kami mula turun ke bawah untuk pulang ke bot untuk ke destinasi seterusnya iaitu Pink Beach. Sampai di bawah, Fatin dan Ed sedang menunggu di kawasan wakaf bersama dengan pengunjung yang lain. Kelihatan beberapa orang pelancong dari China sedang memberi makan dan mengambil gambar dengan 2 ekor rusa Javan yang berada di pantai ni. Aku berjaya merakam beberapa keping gambar rusa ni dan aku rasa gambar aku cantik. Ala-ala National Geographic gitu. Hahahaha.. Cuba tengok gambar bawah tu. Cantik kan? Tapi aku sepatutnya ambil dengan DSLR aku barulah lebih mantap. Ambil dengan smartphone ni, kureng la sikit.

đź“ŤPink Beach (Long Beach)

Destinasi kedua untuk tour ini ialah Pink Beach atau Long Beach. Pink Beach ini terletak di dalam Pulau Padar juga cuma on the other side lah. Kena naik bot, pusing ke sana. Pemandangnya? Ya Rabbi cantik gilaaaaaa weh!! Dengan air yang jernih kebiruan dan pasir pantai warna pink-pink kebabi, sangat jauh gila dengan pantai kat Morib tu. Hahahaha. Kena pula cuaca tengah panas terik dan langit membiru, memang perfect sangat kombinasi tersebut untuk dirakamkan sekeping gambar yang boleh menyebabkan kawan-kawan kau yang tengah bekerja tu makan hati melihatnya! Hahaha.

Aku jarang nak gila bila tengok air laut ni. Tapi disebabkan pemandangannya sangat cantik, aku tak melepaskan peluang untuk terjun ke dalamnya. Walaupun cuaca di luarnya panas, air lautnya sedikit sejuk dan ini menambahkan keseronokan bila mandi laut di sini. Rentung? Lantak pi la. Aku dah tak fikir dah kalau tona kulit bertukar 20 shades sekalipun. Kat sini kami dibenarkan untuk mandi dan berenang sahaja. Takde snorkeling bagai.

Oh, by the way, warna pink pasir pantai di sini disebabkan oleh serpihan batu karang yang berwarna merah yang dikenali sebagai “organ pipe coral” yang banyak terdapat di perairan ni. Contoh batu karang ni ada diletakkan berhampiran dengan gerai yang terdapat di sini. Oh ya, kat sini ada beberapa gerai yang menjual makanan dan minuman ringan just in case korang kelaparan. Fatin dan Ed sempat menjamah mee segera semasa melepak dan berteduh di bawah gerai ni.

đź“ŤKomodo Island

Selesai mengunjungi dan bermandi-manda di Pink Beach ini, kami ke destinasi seterusnya iaitu Komodo Island yang mengambil masa hampir 15-20 minit perjalanan dari pantai ni. Dari jeti tempat bot ni berlabuh nak ke entrance Komodo Island terasa jauh terutamanya ketika cuaca panas. Semasa berjakan di jeti ni, semua orang excited sebab ternampak seekor penyu sedang berenang di permukaan laut. Aku tak sempat nak rakamkan video sebab few seconds je nampak.

Memasuki sahaja gerbang Komodo National Park ini, kami terus berkumpul untuk mendengar taklimat dari tour guide yang ditugaskan untuk menjaga kumpulan kami. Aku lupa la pulak nama pakcik tu. Setiap kumpulan ada 4 orang renjer yang menjaga; seorang di hadapan, 2 orang di bahagian tengah dan seorang di belakang. Pengunjung tidak dibenarkan berjalan seorangan, mesti berjalan dalam kumpulan. Wanita yang datang bulan tak dinasihatkan untuk join tour ni tapi kalau korang dalam mode “bendera merah” korang kena berjalan dekat dengan renjer. Aku tak sure, maybe biawak Komodo ni alert dengan bau darah kot? Tu aku punya spekulaski je la. Dan kalau korang bawa anak-anak kecil ataupun korang pun sama naik macam budak kecik, please make sure jangan berlari lebih-lebih lagi di hadapan biawak Komodo ni. Satgi kena baham… naya punya kes!

Oh, sebelum tu, Komodo dragons atau biawak Komodo ni adalah spesies biawak terbesar di dunia yang hanya terdapat secara semula jadi di beberapa pulau di Indonesia, termasuk Pulau Komodo, Rinca, Flores, Gili Motang dan Padar. Haiwan ini boleh mencapai panjang sehingga 3 meter dan berat lebih 70 kilogram. Dikenali sebagai pemangsa yang tangkas, biawak Komodo memakan pelbagai jenis haiwan, termasuk rusa, babi dan juga bangkai. Habitatnya meliputi kawasan hutan tropika dan padang rumput kering. Biawak Komodo juga terkenal kerana air liurnya yang mengandungi bakteria berbahaya, membantu mereka memburu mangsa dengan lebih efektif. Spesies ini dianggap sebagai khazanah unik dan dilindungi kerana statusnya yang terancam akibat kehilangan habitat dan ancaman lain.

Untuk tour di Komodo National Park ni, aku diberikan tour jenis medium iaitu tour dengan perjalanan tanpa pendakian yang sukar yang mengambil masa lebih kurang 40 minit. Berjalan di kawasan yang rata saja. So, takdelah penat mana, kecuali dalam cuaca yang panas terik je la.

Biawak Komodo yang pertama kami jumpa selepas beberapa meter berjalan. Saiznya sederhana saja. Maybe besar sikit dari biawak yang biasa aku jumpa di Tasik Cyberjaya tu. Semua pengunjung macam excited tengok biawak tu. Setiap kali jumpa, setiap kali itulah nak bergambar. Tapi aku macam “biasa je nyah!” bak kata Janna Nick. Hahahaha. Yelah selalu kan jumpa masa morning walk kat Tasik Cyber tu, rupa pun lebih kurang. Cuma saiz je la yang berbeza. Sepanjang tour, ada 5 ekor biawak yang kami jumpa. Consider ourselves lucky juga sebab ada harinya, seekor biawak pun tak jumpa. Yang paling besar kami jumpa tengah dok berehat dalam batang pokok. Cuaca panas terik, so depa semua pakat dok melepek je lah.

Untuk mengambil gambar bersama biawak Komodo, kena minta tolong renjer ambilkan. Seorang dok ambil gambar, yang lain dok kawal dengan batang kayu just in case tetiba biawak ni naik gila. Binatang ni bukan boleh predict pun tingkah lakunya. Masa Barak nak ambil gambar, biawak ni pula beredar ke tempat lain. So, kena ambil dengan biawak lain yang ada kat situ. Masa tour ni, ada this family dari China yang maknya sibuk dok selfie biarkan anak kecilnya around 6 or 7 years old tu. Tetiba budak tu berlari depan biawak! Kitorang semua macam “What the hell? Mau mati kaaaa???” Terus kena tegur dengan renjer. Nasib baik tak digigit oleh biawak tu. So, kalau korang bawa anak kecil. Kena extra jaga anak-anak korang ya supaya tak jadi perkara-perkara yang tak diingini.

Semasa tour ni juga, renjer menunjukkan sumber air yang disediakan oleh pihak kerajaan bagi membolehkan haiwan di sini minum terutamanya biawak Komodo, rusa dan lain-lain. Pakcik renjer tu pun turut memberi asam jawa yang dipetik di kawasan ini untuk dirasa.

Selesai lawatan, kami singgah di gerai yang terdapat di sini untuk membeli cenderahati. Ada t-shirt, fridge magnet dan lain-lain. Harganya bagi aku sama je kat mana-mana. Aku cuma membeli fridge magnet je. Next destination ialah Taka Makassar.

Semasa dalam perjalanan ke Taka Makassar ni, kami dihidangkan dengan makanan tengahari berupa lunch box. Menunya ialah nasi, fillet ayam goreng, tempe, telur rebus, sayur dan kentang goreng beserta sambal Sunda dan sebiji buah salak. Makan sambil mata disajikan dengan pemandangan laut yang luas terbentang. Memang best! Perjalanan dari Komodo Island ke Taka Makassar mengambil masa hampir 40 minit.

đź“ŤTaka Makassar, Manta Point & Turtle Point

Memasuki je perairan Taka Makassar, aku memang teruja gila sebabnya korang bayangkan di tengah-tengah laut, tiba-tiba ada beting pasir yang putih melepak dan di sekitarnya air laut dengan 2 tona; biru turquoise dan biru gelap. Memang cantik! Banyak bot berlabuh di kawasan ini untuk aktiviti snorkeling.

Taka Makassar ialah antara kawasan wajib singgah yang terdapat dalam pakej Komodo tour ni. Ia ialah sebuah pulau kecil dengan beting pasir yang berbentuk bulan sabit. Snorkeling kat sini memang best sebab airnya sangat jernih. Cuma coral di kawasan yang aku snorkel ni tak banyak sangat. Ikan pun ada la juga. Kalau di bahagian lain mungkin lebih banyak kot. Tapi viewnya memang superb. Kira first time aku snorkel di kawasan beting pasir yang cantik macam ni. Dan disebabkan view yang cantik ni lah, aku main sauk je snorkeling gear tanpa proper cleaning. Sudahnya balik Malaysia, batuk macam nak luruh jantung ya! So, next time kalau korang nak pi snorkle, make sure cuci bersih-bersih atau cuci dengan sanitizer kalau perlu sebab benda ni dikongsi ramai orang kan. Nak bawa sendiri punya satu hal pula la nak masuk luggage kan? Tu la, bila nampak je air laut yang cantik, terus hilang akal. Bukan aku sorang je. Barak pun sama naik batuk. So, pengajaran di situ ya.

Habis aktiviti di Taka Makassar, kami ke lokasi yang ke-5 iaitu Manta Point. Terletak di tengah-tengah lautan dalam dengan kedalaman lebih 10 meter kalau tak salah aku. Bila sampai sini, aku main terjun je. Sekali tengok bawah… bapak gelap!!! Hahahaha.. Dalam weh. Nasib pakai life jacket. Kami ke sini untuk melihat manta ray iaitu pari gergasi yang banyak terdapat di lokasi ni. Dan Alhamdulillah, rezeki kami pada hari ni, ada 2 ekor manta ray berenang di dasar laut. Aku berjaya juga capture walaupun footagenya tak berapa nak clear. Memang besar weh! Ada German guy dalam group kami berjaya dive ke dasar dan ambil video manta ray tu. Clear gila. Kami semua excited tengok footagenya. Dan sebelum beredar, 2 ekor manta ray tu berenang ke permukaan. So, semua dalam bot dapat tengok. Syukur Alhamdulillah, memang rezeki sungguh hari ni.

Dan our last stop sepatutnya di Kanawa Island, tapi disebabkan kami dah terlewat dan Kanawa Island pun dah tutup katanya, maka kami dibawa ke Turtle Point untuk misi mencari penyu pula. Tapi aku tak dan nak kejar pun. Sekejap kat sana, sekejap kat sini. Acik kau penat nak berenang. Try juga record dalam air. Takde pula jumpa. Sudahnya, nak balik ke bot, Barak tolak aku dari belakang sebab aku penat nak berenang. Hahahaha. Kalau aku berenang mungkin lambat nak sampai ke bot jadinya.

So, dengan berakhirnya snorkeling di Turtle Point ni, maka berakhirlah Komodo tour kami untuk hari ni.

On the way balik ke jeti, kami dihidangkan dengan minuman petang berupa kuih dan 2 jenis minuman panas iaitu cappucino dan kopi. Memang layan la kan. Dah penat snorkeling, perut pun boleh tahan lapar, makan sambil melihat pemandangan. Dan sepanjang berada di Laut Flores ni, mata aku banyak tertumpu pada bot-bot yang menyediakan penginapan di dalamnya. Insyallah, kalau ada rezeki lagi nak ke Labuan Bajo, aku nak try bermalam dalam cruise macam ni pula. Memang salah satu wish list aku juga di sini yang belum terlaksana.

Sampai di Marina Labuan Bajo, kami terus dihantar ke Loccal Hotel. Selesai mengambil luggage masing-masing, kami menaiki pula van untuk dihantar ke hotel berikutnya untuk malam terakhir kami di Labuan Bajo iaitu Luwansa Beach Resort. Van ni pun aku dah booked terlebih dahulu melalui hotel dengan bayaran IDR 150,000.

đź“ŤLuwansa Beach Resort

Kami check-in di Luwansa Beach Resort ni agak lewat. Hampir jam 5.00 petang. Aku sengaja booked hotel ni sebab mahukan kelainan dengan hotel yang berada di tepi pantai. Selain tu, yang menariknya bagi aku ialah mereka menyediakan airport shuttle secara percuma. So, tak payah nak pening kepala cari teksi ke apa, esok check-out terus mereka hantar ke aiport.

Anyway, sampai je bilik, aku dengan Barak terus jamak takhir dulu sebab dah agak lewat. Nasib baik belum masuk waktu maghrib. Nak solat masa tour tadi tak sempat. Selesai merehatkan diri buat seketika, aku berjalan di sekitar hotel untuk merakamkan vlog sambil melihat kawasan sekeliling. Hotel ni cantik sebenarnya. Tambahan pula, ia ada taman dengan bunga-bunga putih yang mekar di tengah-tengahnya. Pantai pun tak jauh dan swimming pool serta restorannya terletak di sini mengadap laut. Sunset pun cantik. Cuma yang sayangnya keadaan pantai di sini sangat kotor dengan sampah-sarap dari kawasan sekitar. Mengingatkan aku semasa berada di Pulau Mantanani, Sabah. View dah cantik, tapi sakit mata melihat timbunan sampah di sini. Harap-harap ada usaha untuk membersihkannya nanti.

So, malam ni kami decided untuk dinner di Kampung Ujung Seafood tu. Gerai yang kami makan dulu. Memandangkan kami berempat dan nak mencari Grab Car sangat susah, maka kami sepakat untuk naik Gojek je. Lebih jimat berbanding menaiki teksi. Masing-masing booked sendiri, then jumpa di kawasan kedai makan tu. Agak jauh juga nak ke Kampung Ujung Seafood ni dari Luwansa sebab kebanyakan jalan di bandar Labuan Bajo ni one way, maka rider kena berpusing agak jauh. Aku rasa lah kan. Hahaha.

Dan bila sampai di kedai makan tu, Fatin dah siap order the same menu we had before this dengan tambahan lobster masak stim garlic. Dia belanja lobster tu. Mudah-mudahan murah rezeki dia. Hehehe. The food was amazing. Memang sedap terutama ikan kakap masak asam tu. Daging lobsternya pun segar dan kenyal. Puas hati makan weh!

Selesai makan, kami berjalan tanpa arah tujuan di sepanjang Jl. Soekarno Hatta ni, sambil mata mencari-cari kalau ada apa yang boleh dibeli. Hajat hati nak berurut tapi baru lepas makan kan? Satgi terkeluar isi perut. Sudahnya kami singgah di Mixue pekena aiskrim. Tengah-tengah makan tu, ada seorang adik dok menjual makanan dengan diorang. Kebetulan aku tengah dok beli aiskrim masa tu. So, aku beli sekali untuk adik tu sebab tak sampai hati tengok muka dia tengok kami makan aiskrim. Belum sempat Ed nak beli, aku dah pass aiskrim tu kat adik tu. Happy gila muka dia. Macam-macam benda kami tanya dia, pasal sekolah, belajar dan lain-lain. Dan kebetulan bapa adik tu berada berhampiran. Dia pun datang kat kami dan beritahu yang ni sebagai aktiviti sampingan adik ni untuk cari duit poket sendiri dan sebagai latihan untuk dia belajar berniaga, which is good. Sudahnya, bapa dia yang hantar kami balik ke hotel sebab dia pun bawa teksi. Banyak juga la berborak sepanjang balik ke hotel tu. Tentang kemasukan pelancong dari Malaysia sejak dah ada direct flight dari KL ni dan sebagainya.

So, bila dah sampai bilik, kami pun terus blackout sebab penat weh seharian berpanasan masa tour tadi. Muka jangan cakaplah. Macam udang panggang. Tapi yang penting puas hati. Syukur sangat dapat buat aktiviti hari ni dalam cuaca yang sangat elok, walaupun panas terik.

Tapi, esok dah nak balik! Ya Allah, sedihnyaaaaa!!! Hahahaha.. Macam tak puas je rasa 6 hari travel ni. Sekejap betul masa berlalu kan?

Okaylah, sambung dalam bahagian akhir di next post nanti. Till then, terima kasih kerana sudi membaca dan jangan lupa like, subscribe dan share video Youtube aku weh. Mudah-mudahan ada rezeki lagi untuk aku travel ke destinasi berikutnya.

Jumpa di next post. Tata!


Labuan Bajo Travel Tips, Top Things to Do in Labuan Bajo, Best Time to Visit Labuan Bajo, Komodo Island Adventure, Labuan Bajo Hidden Gems, Labuan Bajo Must-Visit Places, Labuan Bajo Drone Footage, Labuan Bajo Local Cuisine, Labuan Bajo Budget Travel Tips, How to Get to Labuan Bajo, Labuan Bajo Nightlife, Labuan Bajo Best Beaches, Labuan Bajo Island Hopping, Komodo Dragon Tour Labuan Bajo, Labuan Bajo Travel Vlog, Labuan Bajo for First-Timers, Labuan Bajo Unique Experiences, BCL Goes to Labuan Bajo, Labuan Bajo astrophotography, night sky photography in Labuan Bajo, stargazing Labuan Bajo, Labuan Bajo dark sky, best places for astrophotography in Indonesia, stargazing spots Labuan Bajo, clear sky photography in Flores, Milky Way photography Indonesia, Labuan Bajo travel photography, sunset and night sky Labuan Bajo, Air Asia direct flight Labuan Bajo, Loccal Collection Komodo Hotel Labuan Bajo, Santorini vibe hotel in Labuan Bajo, Labuan Bajo sunset view hotel, sea view hotel Labuan Bajo, Instagrammable spots in Labuan Bajo, OOTD spots Labuan Bajo, wishlist hotel Labuan Bajo, comfortable hotel in Labuan Bajo, Labuan Bajo travel, recommended hotels Labuan Bajo, tempat menarik di Labuan Bajo, hotel dengan vibe Santorini, pemandangan laut Labuan Bajo, lokasi OOTD Labuan Bajo, percutian di Labuan Bajo, hotel selesa Labuan Bajo, hotel untuk makan dengan pemandangan cantik, Komodo tour, full-day Komodo island tour, Padar Island, stunning Padar hill view, must-visit Padar hill, Pink Beach Komodo, pink sand beach, Komodo dragons tour, Komodo Island dragons, Taka Makassar snorkeling, Manta Point snorkeling, swimming with manta rays


Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.