Sharing is caring

Semasa aku membesar di Wadi Hana, Johor Bahru pada sekitar tahun 80-an, terdapat beberapa kedai runcit di kawasan ini. Jarak di antara rumah aku dan kedai-kedai tersebut lebih kurang dalam radius 1 kilometer.

Di antara kedai runcit yang berdekatan ialah Kedai Bibi di Jalan Sekolah Arab, Kedai Ah Kop dan Kedai Wahid di Jalan Mohd. Taib dan Kedai Mamat, Kedai Ah Pau dan Kedai Pak Hashim di Jalan Wadi Hana. Inilah kedai-kedai yang sering aku kunjungi. Selalunya aku akan ke Kedai Bibi dahulu kerana ia lebih dekat. Jika tidak ada barang yang dikehendaki di Kedai Bibi, barulah aku pergi ke kedai-kedai berikutnya mengikut turutan paling dekat. Oh! Ada satu lagi kedai runcit iaitu di Jalan Kuel. Tapi itu agak jauh dan jarang aku ke sana.

Kedai Bibi diusahakan oleh Bibi dan suaminya, Pak Dollah. Mereka berketurunan India Muslim. Pak Dollah selalu memakan kain dothi berwarna putih yang disingsing hingga ke paras lutut. Kedai mereka turut dibantu oleh 3 orang anak mereka iaitu Rahmatullah, Karim dan Mamat. Tulah jarang berada di kedai sebab bekerja di tempat lain.

Kedai ini terletak betul-betul di tepi Jalan Sekolah Arab. Pintu utama kedai ini menggunakan pintu lipat yang diperbuat daripada logam yang dicat dengan warna biru. Pada salah satu kepingan pintu itu terdapat bukaan yang digunakan oleh pemilik untuk menjengah pelanggan di luar jika ada yang hendak membeli barang pada waktu malam. Kedai Bibi terdapat 2 bahagian; di luarnya ialah bahagian kedai manakala di bahagian dalam ialah rumah mereka.

Bekas Kedai Bibi di Wadi Hana, Johor Bahru.

Dahulu, antara barang keperluan yang kerap aku beli di sini ialah minyak tanah kerana ketika itu kami memasak menggunakan dapur minyak tanah yang menggunakan sumbu. Setiap kali membeli minyak tanah, Bibi atau Pak Dolah akan mengepam minyak tersebut menggunakan pam tangan, menarik dan menurun batang besi di dalamnya untuk mengeluarkan minyak dan mengisinya di dalam plastik atau botol plastik yang aku bawa. By the way, anak-anak muda sekarang ni tahu ke rupa pam tangan atau dipanggil gumba tu? Kalau tak pernah tengok, boleh klik di sini.

Selain daripada minyak tanah, aku selalu membeli kelapa parut yang dipesan oleh keluarga aku. Ada kalanya, Baba, nenek aku akan memesan kelapa putih sahaja untuk digunakan membuat kuih kasui. Bibi akan membelah kelapa tua tersebut menggunakan parang, mengumpil bahagian kelapa yang retak untuk mengeluarkan dan membuang airnya di longkang di hadapan kedai. Ada kalanya, jika terdapat tombong di dalam kelapa tersebut, aku akan meminta pada mereka dan memakan tombong kelapa tersebut. Sedap rasa tombong yang lemak-lemak manis. Ada satu ketika, kalau Bibi sibuk, aku sendiri akan mengisar kelapa tersebut. Tidak susah pun. Cuma kena berhati-hati sebab besi pemarut tersebut mempunyai mata-mata besi yang tajam.

Oh, ada satu tabiat anak beranak ini yang aku selalu perhatikan ialah mereka suka mengunyah beras mentah. Aku tidak pasti jika ada kebaikan daripada amalan ini. Ada sesiapa tahu?



Sharing is caring
Written By

omaralattas

Dreams are free. So keep on dreaming. I am a dreamer. Love food and travelling. Can't live without music. And a joker most of the time.