Bukit Batu Putih & Monkey Bay
Pengenalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan pembaca sekalian. Bertemu lagi dalam blog kali ni yang mana aku nak share tentang weekend getaway aku dan Barak pada minggu lepas iaitu hiking Bukit Batu Putih dan lepak di Monkey Bay, Tanjung Tuan, Melaka. Kawasan ni terletak berhampiran dengan sempadan Negeri Sembilan dan Melaka.

Tapi, sebelum tu apa kata korang support channel aku dengan subscribe, like dan share video-video yang ada di situ. Semoga bermanfaat dan tercapai juga hasrat aku untuk mendapat silver button suatu hari nanti.
Ini merupakan trip kedua kami ke sini sebab sebelum ni, pada cuti Tahun Baru yang lalu kami dah datang ke sini secara tanpa dirancang. So, memang takde la bawa baju persalinan dan sebagainya. Dan since kami discover kat sini ada latok, tu yang plan datang ke sini siap bawa bekas. Kononnya nak mengutip latok.
Bergerak awal pagi ke Tanjung Tuan
Plan nak bertolak awal pagi untuk ke Tanjung Tuan sedikit terganggu sebab ada beberapa jalan kat Cyberjaya ni ditutup untuk Twincity running event. Daripada mudah laluan aku nak keluar Cyberjaya, terpaksa berpusing-pusing ambil jalan lain. Padahal rasanya boleh je tutup satu lane jalan tu. Hangin sekejap aku pepagi hari. Huh!!!
Alhamdulillah, perjalanan ke sana dari Cyberjaya lancar je. Takde traffic jam. Selepas lebih kurang 1 jam, kami sampai di Pantai Tanjung Tuan. Kiri kanan jalan memang penuh dengan kereta parking. Jadi, aku letakkan kereta di kawasan parking persendirian dengan bayaran RM5. Kat sini pun ada tandas dan bilik mandi. So, later boleh mandi di sini dengan bayaran RM1 untuk seorang.
Tak jadi kutip latok sebab air pasang
Kami sampai di sini sekitar jam 9.00 pagi dan ketika ni air laut tengah pasang. So, tak boleh la nak kutip latok sebab kawasannya agak ke tengah laut dan time air pasang ni sah-sah la paras airnya tinggi.
Jadi, kami plan untuk datang semula ke sini time tu air dah surut. So, sementara nak menunggu tu, kami decide untuk pergi hiking ke rumah api dan Bukit Batu Putih yang terletak berdekatan dengan pantai ni.

Hiking di Taman Eko-Rimba Tanjung Tuan
Aktiviti hiking Bukit Batu Putih ni dimulakan dengan mendaki laluan berbukit di Taman Eko-Rimba Tanjung Tuan ni. Nak masuk sini free je. Kecuraman laluannya boleh tahan juga. Baru separuh jalan dah mengah! Hahaha. Tapi takde la teruk mana pun. Best briskwalk di sini dengan pokok-pokok hijau di sekeliling dan bunyi unggas-unggas. Memang rasa segar! Lebih kurang 10 minit berjalan kaki, kami sampai di Rumah Api Tanjung Tuan atau dikenali juga sebagai Cape Rachado Lighthouse.

Rumah api sejak dari zaman Portugis!
Rumah Api Tanjung Tuan yang tertua di Malaysia ni dipercayai wujud sejak dari zaman penjajahan Portugis di Melaka pada kurun ke-14. Walau bagaimanapun, struktur yang ada sekarang ni dibina sekitar abad ke-19 iaitu pada tahun 1863.
Di kawasan rumah api ni, pemandangan Selat Melaka sedikit terlindung dengan pokok-pokok yang ada di sekelilingnya. So, selepas mengambil gambar dan meluangkan beberapa minit di sini, kami ke destinasi seterusnya iaitu ke Bukit Batu Putih.

Bukit Batu Putih Observation Deck
Dari gerbang laluan masuk ke Bukit Bukit Batu Putih, kami berjalan lebih kurang 5 minit untuk sampai ke kawasan platform atau observation deck. Treknya biasa je. Tak susah mana. Di deck ni, korang boleh menyaksikan pemandangan Selat Melaka dengan lebih jelas. Alhamdulillah, cuaca elok dan pemandangannya pun cantik. Masa aku sampai ni, boleh tahan ramai juga orang di sini.

Hiking Bukit Batu Putih
Dari deck ni, kami turun dan naik bukit lagi lebih kurang 8 minit untuk sampai ke base Bukit Kayu Putih. Treknya pun biasa je. Takde susah sangat. Siap ada orang jual aiskrim dan minuman lagi. Bila dah sampai base ni, kami kena panjat batu-batuan di situ untuk sampai ke puncak Bukit Batu Putih. Ada beberapa laluan naik dan bagi aku sedikit mencabar. But, still okay. Kami terserempak dengan seorang bapa yang mendukung anak kecil. Respect la juga tapi at the same time rasa macam bahaya juga sebenarnya.

Pemandangan cantik di atas bukit
Alhamdulillah! Akhirnya sampai juga ke sini. Lama juga aku teringin nak hiking kat sini cuma takde geng dan tak sure laluannya. Bila dah sampai, memang rasa puas hati walaupun tempat ni agak crowded. Tapi masih boleh merakamkan gambar tanpa sebarang gangguan.
Setelah puas menikmati pemandangan dan bergambar kat sini, kami turun semula untuk pergi ke Monkey Bay. Tak jauh dari sini. Laluan nak ke Monkey Bay ni boleh tahan mencabar juga. Hampir 10 minit juga nak menuruni laluan ni.

Merehatkan diri di Monkey Bay
Pantai Monkey Bay ni tidak terlalu sesak dengan pengunjung. Mungkin sebab nak ke sini laluannya agak mencabar. Nak kena meredah hutan. Tu yang tak berapa ramai kot. Tapi tapi yang penting, pantai ni cantik ya! Aku suka pantai yang ada batu-batuan di tepinya. Air lautnya pun bersih dan tambahan pula cuaca baik. Memang menambahkan keindahan pemandangan di sini. Cuma adalah terselit sampah-sarap yang aku rasa dihanyutkan oleh ombak.

Barbosa Cove – glamping di Monkey Bay
Tak sangka kat sini ada kawasan glamping yang tersembunyi. Rasanya ia baru dibuka kot. Lengkap dengan kafe serta aktiviti seperti kayak, diving dan lain-lain. Aku tanya juga harga pakej di sini, tapi stafnya kata boleh DM Barbosa Cove di TikTok. Tapi menurut akak yang duduk di sebelah aku, katanya semalam RM500, boleh muat 4 orang. Okay kot, maybe boleh masuk dalam list untuk weekend getaway.
Anyway, kami lepak lama juga di kafe ni. Aku refill air dalam tumbler yang aku bawa tu dengan air lemonade berharga RM10. Barak pula pekena roti bakar dengan harga RM7. Just nak alas perut je.
Dah puas lepak, kami menuju ke hujung pantai, di kawasan berbatu untuk meletakkan beg dan mandi laut.




Air laut yang bersih, pantai yang landai
Best mandi laut kat sini. Airnya bersih. Aku siap bawa google sekali sebab nak usha latok. Mana tahu ada kat sini. Tapi takde pun. Batu karang kat sini banyak sebenarnya tapi semua dah mati. Aku cakap kat Barak, kalau diorang buat coral reservation macam kat Le Pirate Island di Labuan Bajo tu, mesti batu karangnya boleh pulih kembali.
Apapun, memang best lepak kat pantai. Next time datang sini, aku nak bawa tikar, so that boleh rehat, melelapkan mata kat kawasan ni.
Kami beredar sekitar jam 1.00 tengahari. Jenuh la nak mendaki bukit semula. Hahaha.. semput!

Cancel nak kutip latok
Apabila sampai di Pantai Tanjung Tuan, kami tengok airnya dah surut. Kira dah okay kalau nak pi cari latok. Tapi disebabkan kami dah penat dan malas nak meredah air laut lagi, maka kami cancel je aktiviti ni. Mungkin lain kali la.
So, next, kami mandi dan bersihkan badan sebelum bergerak mencari kedai makan untuk lunch.

Lunch di Pantai Telok Kemang
Kami random je drive mencari tempat makan sebab kedai yang Barak nak pergi tu tak buka lagi. Sudahnya, kami sampai di Pantai Telok Kemang dan makan di medan selera yang terletak di tepi pantai. Kira dine with a view lah. Aku pekena mee bandung dan coconut shake, manakala Barak dok makan mee goreng dan ABC jagung.
Bila dah habis makan, kami berjalan menuju ke surau yang terletak di Dataran Telok Kemang. Rupanya banyak lagi kedai makan kat sini. Aku sebenarnya nak makan nasi campur. Tapi takpe la. Dah kenyang pun.
Meriah sebenarnya Pantai Telok Kemang ni. Banyak aktiviti. Aku rasa ni first time aku ke sini. Tengahari tegak pun diorang dok mandi laut. Hahaha. Pantai ni bagi aku macam ada vibe Pantai Cenang di Langkawi tu.
Dan kalau tak silap aku, pantai ni la dulu viral dengan kes khemah biru tu kan? Personally bagi aku, tanpa khemah yang besar, pemandangan pantai kat sini lebih cantik dan nampak eksklusif dengan payung-payung tu. Biasalah kan, perubahan kadang-kadang sukar nak diterima tapi sebenarnya memberikan kesan yang positif.

Singgah beli buah naga di Lukut
Selesai makan dan solat, kami bergerak balik ke Cyberjaya. Aku beritahu Barak, minta tolong dia search laluan yang tak masuk highway sebab aku nak singgah membeli buah naga. Last time, Google Maps pi bawa masuk ke highway.
Sampai di gerai buah naga yang terletak di Jalan Sepang-Lukut, aku beli beberapa biji buah naga. Ada RM10 selonggok dan kalau yang saiz besar sikit tu dijual dengan harga RM20 selonggok. Aku beli yang RM10 tu 4 longgok. So, ada lebih kurang 16 biji. Auntie tu pun bagi free 2 biji kat aku. So, boleh la bagi kawan-kawan baik aku kat Cyberjaya tu.
Alhamdulillah, sekitar jam 6.00 petang aku dah selamat sampai di rumah. Barai la juga rasanya tapi aku happy gila dan puas hati sebab view cantik dan cuaca pula baik. Hilang terus niat aku nak memaki pasal jalan tutup running event pagi tadi. Hahaha.

Penutup
So, tu je la guys perkongsian kali ni. Kalau korang belum pernah pergi ke Bukit Batu Putih tu, pergilah. Memang puas hati. Dan seriously aku tak sangka ada pantai cantik di belah barat semenanjung ni. Aku dengan Barak dah bersetuju, next time kalau kemaruk sangat nak mandi laut, boleh pergi ke sini lagi.
Bagi yang belum subscribe channel aku, silalah subscribe, share dan like the videos. Mudah-mudahan dapat aku nak buat travel content lagi di masa hadapan.
Terima kasih sebab sudi membaca dan jumpa lagi dalam post akan datang. Adios!
English summary:
This weekend getaway took me to Tanjung Tuan, Melaka for a chill but rewarding nature escape. The hike starts at Tanjung Tuan Recreational Forest up to Cape Rachado Lighthouse, followed by a scenic hike to Bukit Batu Putih with stunning views of the Strait of Malacca. After that, we headed down to Monkey Bay, a peaceful beach with unique rock formations, perfect for a swim during high tide and chilling at Barbosa Cove café with a beautiful sea view. Lunch was at the lively Teluk Kemang before stopping by Lukut to buy fresh dragon fruit on the way back to Cyberjaya. A simple, refreshing weekend that’s totally worth it.

Leave a Comment